TIP MENJADI PEMIMPIN HEBAT | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » TIP MENJADI PEMIMPIN HEBAT

TIP MENJADI PEMIMPIN HEBAT

Oleh : Dr. Mazila binti Ghazali K.B,P.A

Menjadi seorang pemimpin bukan suatu yang mudah. Untuk menjadi seorang pemimpin biasanya tidak lari dari menjadi seorang pengikut terlebih dahulu. Semestinya setiap dari kita menyimpan angan untuk menjadi pemimpin dan bukannya menjadi pengikut sepanjang hayat. Ramai pemimpin yang hebat sebenarnya bermula daripada menjadi seorang pengikut. Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, perlu memiliki ciri-ciri seperti berikut:

1. KEBERANIAN YANG CUKUP. Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang diketahui, tiada pengikut yang mahu diarah-arah oleh seorang pemimpin yang tidak mempunyai keyakinan diri dan penakut. Orang yang cerdik, dan pandai menilai sikap tidak akan bertahan lama di bawah pemimpin yang tidak mempunyai ciri ini. Keberanian sangat penting, kerana dengan adanya keberanian, seorang pemimpin akan dipandang sebagai individu yang mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi pengikutnya. 

2. KAWALAN DIRI. Aspek penting yang harus ada dalam peribadi seorang pemimpin adalah kawalan diri yang baik. Ini kerana orang yang tidak dapat mengawal diri sendiri tidak akan dapat mengawal orang lain. Kebolehan mengawal diri menjadi contoh berkesan bagi pengikutnya. Pengikut yang bijak biasanya dapat menilai ciri kawalan diri yang ada pada pemimpinnya. Secara tidak langsung, mereka akan cuba mengikut sikap yang terserlah pada pemimpin mereka. 

3. ADIL DAN SAKSAMA. Tanpa ada sikap adil dan saksama, tiada pemimpin dapat mengekalkan pengikut setia dan menerima penghormatan yang sepatutnya. Mereka pasti akan segera berpindah ke tempat lain sebaik mengetahui pemimpin mereka tidak mempunyai sikap yang mulia. Adil dan saksama dalam apa juga keputusan dan tindakan terhadap pengikut adalah sangat penting. Nilai seorang ketua yang memimpin akan dipandang tinggi oleh pengikut sekiranya bersikap adil dan saksama. Jika sebaliknya, pemimpin tersebut akan menghadapi masalah dalam kepemimpinannya.

4. YAKIN DENGAN KEPUTUSAN. Pemimpin yang berdolak-dalik dengan keputusan yang dibuat menunjukkan bahawa keyakinan diri mereka rendah. Setiap keputusan yang dibuat oleh seseorang yang bergelar pemimpin adalah perlu berlandaskan fakta yang tepat dan benar. Pemimpin akan membuat keputusan yang salah jika terlalu mengikut emosi. Justeru keputusan yang dibuat nanti pasti akan bercanggah dan akan mengganggu proses kerja serta hubungan dengan pasukan. Oleh yang demikian, pemimpin hebat pastinya akan memainkan peranan penting dalam membuat apa sahaja keputusan dan meletakkan pasukannya sebagai penyokong serta pemberi input sebelum keputusan yang tepat dibuat. Terkadang keputusan secara bersama setelah perbincangan dibuat adalah keputusan yang tepat untuk kepentingan bersama.

5. MERANCANG DENGAN TEPAT. Pemimpin yang baik akan membuat perancangan secara teliti. Seterusnya perancangan tersebut akan dilaksanakan dengan penuh ketelitian. Pemimpin yang hanya pandai berkata-kata dan tidak pandai melaksanakan kerja adalah pemimpin yang paling tidak berguna. Pemimpin yang tidak menyusun perancangan dengan baik dan teliti, dapat diumpamakan seperti kapal tanpa kemudi. Lambat laun kumpulan yang dipimpinnya akan tersadai di pantai cetek, tidak boleh bergerak lagi. Pengemudi kapal adalah mereka yang kuat dan tidak mudah jatuh dilanda badai, tidak mudah memberontak apabila ditegur dan sentiasa membuat introspeksi diri untuk melihat perkara baik yang dilakukan dan perkara yang perlu diubah.

6. MEMIKUL TANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA. Pemimpin yang dihormati akan mengambil sikap bertanggungjawab atas kesilapan atau kekurangan yang dimiliki oleh pengikut mereka. Sekiranya ada pengikut yang membuat kesilapan, ia adalah kesalahan pemimpin itu kerana tidak memastikan mereka melakukan kerja dengan baik. Sekiranya mengelak daripada bertanggungjawab, jangka hayat kepemimpinan mereka pasti singkat. Justeru itu, memimpin bukan perkara yang mudah kerana semua pengikut adalah terletak di bahu pemimpin. Pemimpin perlu berada di hadapan dalam melaksanakan apa juga kerja dan menganggap kerja itu sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

 

Tarikh Input: 30/08/2023 | Kemaskini: 30/08/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcXAq~