Tip Penjagaan Diri | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tip Penjagaan Diri

Tip Penjagaan Diri

Oleh : Noorihayatti Noorudin K.B,P.A

Tip penjagaan diri (self-care) sangat penting dalam menjaga keseimbangan antara fizikal dan mental serta meningkatkan kualiti hidup kita. Berikut adalah tip penjagaan diri yang boleh kita lakukan;
1. Sayangi Diri
Kita sering terlepas pandang untuk meletakkan keutamaan pada diri sendiri, sehingga akhirnya memberi kesan kepada mental dan fizikal. Ayuh mulai hari ini, kita letakkan diri kita juga sebagai keutamaan dengan melakukan aktiviti yang kita suka, seperti membaca, menulis, menghayati melodi muzik, melakukan senaman atau melakukan aktiviti-aktiviti healing yang lain. Jiwa yang damai akan menghasilkan kehidupan yang lebih menenangkan serta menyeronokkan.
Apabila jiwa dan pemikiran kita damai, kita juga dapat mengelakkan daripada mempunyai pemikiran pesimis dan perasaan negatif serta menyalahkan diri sendiri. Akhirnya, rahmah hidup akan menjengah dalam hidup kita dan kehidupan akan lebih bahagia.
2. Rehat yang mencukupi
Hakikat yang sering kita terlupa ialah kita adalah manusia dan bukannya robot. Oleh itu, pastikan kita mempunyai rehat yang cukup. Sedangkan jalan raya yang lurus juga, akan membuat kita berhenti di lampu isyarat, inikan pula kehidupan manusia.
Apabila fizikal dan mental kita mendapat istirahat yang cukup, barulah kita dapat memberikan fokus kepada rutin seharian, sama ada sesi pembelajaran ataupun di tempat kerja dengan lebih optimum.
3. Menulis Jurnal
Tahukah anda, apabila kita menzahirkan rasa kesyukuran, kita akan dapati penulisan jurnal diri menyatakan bahawa terlalu banyak nikmat yang kita telah perolehi dan perlu disyukuri. Bukan setakat itu sahaja, penulisan jurnal diri dapat menzahirkan ekspresi diri, sama ada emosi atau pemikiran yang selama ini dipendam, akhirnya dapat dirungkaikan.
Apabila kita mempunyai jurnal diri, kita dapat melakukan refleksi dengan lebih baik, berbanding jika kita menzahirkan secara terbuka yang akhirnya membawa kepada penyesalan. Kita akan dapat berfikir dan menganalisa sesuatu dan secara tidak langsung mengajar kita berfikir dahulu sebelum bertindak.
4. Teroka Perkara Yang Baharu
Tahukah anda, rata-rata mereka yang merasakan hidup ini membosankan sebenarnya adalah mereka yang selalu terikat dengan zon selesa?
Orang yang hebat dalam hidup bukanlah mereka yang kuat fizikalnya, mahupun tinggi IQnya tetapi adalah mereka yang mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa dan sentiasa meneroka hidup yang baharu serta menyeronokkan.
Bayangkan, jika anda tidak meneroka kehidupan baharu, terutamanya pada abad ini, kita seumpama masih menaiki kuda sebagai kenderaan sedangkan orang lain sedang menaiki motokar berkuasa kuda yang lebih tinggi.
Apabila kita sentiasa meneroka perkara yang baharu, kita akan dapat sentiasa meningkatkan diri ke arah yang lebih baik dari sebelumnya dan tidak ketinggalan dari arus pemodenan yang pesat dan pantas.

Selamat Mencuba!

Tarikh Input: 28/11/2023 | Kemaskini: 28/11/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcQAE~