Tip Penjagaan Kesihatan Mental | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tip Penjagaan Kesihatan Mental

Tip Penjagaan Kesihatan Mental

Oleh : Kemelia binti Omar K.B,P.A

Menjaga kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal kerana ia membabitkan aspek kesejahteraan tingkah laku, emosi dan spiritual dalam diri individu yang memberi kesan kepada kesejahteraan hidup dan hubungan seseorang dengan orang lain.

Berikut merupakan beberapa tip yang boleh digunakan untuk memastikan kesihatan mental anda sentiasa terjaga.

1. Kongsi
Anda boleh berkongsi perasaan kepada orang yang dipercayai seperti ahli keluarga dan kawan rapat bagi mengurangkan tekanan atau kesedihan yang berkemungkinan dapat mempengaruhi kesihatan mental.

Selain itu, meminta bantuan daripada profesional seperti kaunselor juga adalah langkah penjagaan mental bagi mendapatkan rawatan lanjut serta/atau mendapatkan nasihat dan tip bagi penjagaan mental yang sempurna.

2. Elakkan
Elakkan diri daripada mengambil bahan terlarang seperti dadah, alkohol dan merokok yang semestinya diketahui mempunyai implikasi yang buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental.

3. Pilih
Anda perlulah bijak memilih makanan yang sihat. Pemakanan seharian seseorang itu amat mempengaruhi kesihatan mental dan juga kesihatan fizikal. Langkah paling mudah adalah dengan memastikan pengambilan air sebanyak 6 hingga 8 gelas sehari. Selain itu, sumber-sumber protein seperti kekacang, ikan, telur dan daging dan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan perlu dimasukkan dalam diet setiap individu setiap hari untuk mendapatkan nutrisi yang mencukupi.

4. Lakukan
Aktiviti fizikal dan riadah atau hobi yang bermanfaat dapat membantu anda mengekalkan kesihatan mental dengan baik. Aktiviti bersenam tidak semestinya perlu ke gimnasium. Anda boleh sahaja melakukan aktiviti mudah seperti berjalan kaki, mendaki tangga, bermain bola dan melakukan kerja rumah.

5. Hubungi
Sering menghubungi orang yang tersayang seperti ahli keluarga dan rakan-rakan dapat mengurangkan tekanan dan saling berkongsi kata-kata positif antara satu sama lain. dengan ini, anda juga boleh merasakan diri lebih dihargai!

6. Bijak
Bijak mengurus masa secara efektif mampu mengurangkan tahap stres anda. Ini kerana, hasil kerja yang teratur adalah lebih berkualiti dan produktif. Anda juga akan terhindar daripada masalah kerja yang bertangguh.

7. Dapatkan
Dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi. Tanpa rehat yang cukup, badan tidak dapat berfungsi dengan sempurna termasuk otak dan kesihatan mental.

Ambil langkah dengan memastikan anda mendapatkan tidur yang cukup seperti mengurangkan pengambilan kafein serta tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari.

8. Beribadat
Sekiranya anda mengalami tekanan atau stres anda boleh melakukan ibadah seperti berzikir dan sembahyang mengikut agama dan kepercayaan masing-masing. Beribadat juga dapat memberi kelegaan emosi dan mampu melegakan perasaan anda.

Tarikh Input: 27/10/2023 | Kemaskini: 27/10/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEbWAY~