Tips Menjadi Individu Positif | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tips Menjadi Individu Positif

Tips Menjadi Individu Positif

Dalam dunia yang mencabar ini, anda tidak berseorangan dalam menempuhi isu-isu kesihatan mental. Malah masalah kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Apabila kita mengalami tekanan dalam kehidupan, ianya bukan sahaja akan mempengaruhi minda dan emosi, malah mempengaruhi tingkah laku dan daya tindak kepada individu di sekeliling kita. Sebagai salah satu usaha untuk mengekang tekanan besar berlaku kepada diri kita adalah dengan berfikiran positif. Berfikiran positif dapat mengelak diri kita daripada dibelenggu dengan isu-isu yang lebih komplek di kemudian hari. Berikut adalah tips mudah yang boleh diamalkan untuk membantu diri menjadi lebih positif dalam kehidupan seharian.

 

1. Amalan Pemikiran Positif

Langkah pertama untuk anda bersikap positif adalah mengamalkan pemikiran positif. Elakkan diri anda daripada berfikir secara negatif yang hanya boleh membawa anda ke arah negatif. Amalkanlah pemikiran positif tentang dunia sekeliling anda. Untuk mengamalkan langkah ini, sediakan jurnal dan tuliskan perkara-perkara positif yang membawa anda kegembiraan atau perkara yang anda syukuri setiap hari. Ingatlah bahawa pemikiran positif dan pandangan positif akan membantu menimbulkan emosi yang positif.

 

2. Memberikan Pujian Pada Diri

Pujilah diri dan sayangilah diri anda. Memuji diri sendiri dapat membantu anda berasa lebih yakin dan melahirkan emosi positif. Elakkan daripada menjadi terlalu tegas terhadap diri anda sendiri. Ingatlah bahawa dalam perjalanan hidup, kita pasti akan melakukan kesilapan. Kesalahan dapat membuahkan pengajaran yang bermakna, jadi pujilah diri anda yang sentiasa berusaha memperbaiki diri anda menjadi orang yang lebih baik sepanjang kehidupan anda.

 

3. Memberi Penghargaan Kepada Diri

Memberi penghargaan kepada diri sendiri dapat membantu anda mengurangkan tekanan dan stres dalam kehidupan seharian dan membantu menimbulkan emosi yang lebih positif dalam diri. Sebagai contoh memberi penghargaan kepada diri adalah seperti membeli makanan yang anda gemari setelah menyelesaikan tugas sukar. Perjalanan hidup adalah perjalanan yang sukar dan berduri,  jadi pastikan anda memberi penghargaan kepada diri sendiri kerana berjaya menempuhi hari dengan penuh ketabahan dan kesungguhan. 

 

Menjadi orang yang berfikiran positif dapat membantu anda menyelesaikan isu-isu kecil di sekeliling anda. Tiada jalan pintas untuk kita menjadi seperti mana yang kita mahukan, namun bukanlah mustahil untuk mencapainya. Mulakan langkah mudah supaya anda mampu untuk mengorak lebih banyak langkah kejayaan dalam hidup anda. Langkah pertama anda adalah Berfikirlah secara Positif! Boleh buat bukan?

 

Tarikh Input: 12/08/2021 | Kemaskini: 12/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcEAB~