Tips Menjalani Latihan Praktikal | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tips Menjalani Latihan Praktikal

Tips Menjalani Latihan Praktikal

Tips Persediaan Menjalani Latihan Praktikal

Setiap pelajar akan menjalani latihan praktikal sebagai satu pendedahan dan persediaan untuk menghadapi alam pekerjaan masa akan datang. Pelajar yang menjalani latihan praktikal mempunyai kelebihan kerana mereka didedahkan dengan industri sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar. Persediaan awal  ini dapat membantu mewujudkan imej dan tanggapan pertama yang baik. Mewujudkan imej dan tanggapan yang baik akan memberi manfaat kepada anda dan juga industri penempatan anda kerana ia dapat membantu membina kepercayaan dan hubungan baik antara anda dan industri tersebut. Berikut adalah beberapa tips persediaan yang anda boleh lakukan sebelum menjalani latihan praktikal.

1. Kaji latar belakang industri penempatan anda
Anda haruslah membuat kajian tentang  industri, penempatan dan peranan anda sebelum menjalani latihan praktikal. Ini dapat membantu anda lebih jelas dengan peranan dan tanggungjawab anda selari dengan keperluan industri. Ia juga membantu anda bersiap sedia dengan pelbagai cabaran yang ada ketika menjalankan tugas sebagai pelatih.

2. Tetapkan matlamat latihan dan rancangkan tugas
Menetapkan matlamat latihan bermaksud anda harus jelas dengan misi dan visi latihan industri anda. Anda haruslah tahu matlamat yang ingin dicapai hasil daripada latihan tersebut dan ilmu yang ingin diperolehi daripada pengalaman latihan praktikal. Anda juga haruslah bersedia dengan rancangan tugas untuk memudahkan pemantauan penyelaras atau ‘supervisor’ anda dan membantu anda menjalankan latihan industri dengan lebih lancar.

3. Jangan malu untuk bertanya dan bersikap terbuka
Janganlah malu untuk bertanya soalan kerana bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Malu bertanya akan menyebabkan kualiti kerja yang kurang baik dan akan membawa salah faham. Ingatlah bahawa anda ialah seorang pelajar dan tujuan latihan industri adalah untuk belajar secara praktikal sekaligus meningkatkan pemahaman anda. Selain daripada itu, sentiasalah bersikap terbuka. Bersedia menerima teguran daripada penyelia agar anda tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang.

4. Sediakan dokumen yang diperlukan untuk melapor diri
Siapkan dokumen-dokumen anda seawal mungkin untuk mengelak daripada menimbulkan masalah pada hari pertama anda. Masalah yang remeh seperti masalah dokumentasi akan mendatangkan tanggapan dan imej yang kurang baik. Menyediakan dokumen pada awal waktu juga dapat membantu anda lebih bersiap sedia untuk menghadapi latihan praktikal yang akan datang.

 

Tarikh Input: 03/08/2021 | Kemaskini: 06/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcRAe~