Tips Persediaan Tamat Pengajian | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tips Persediaan Tamat Pengajian

Tips Persediaan Tamat Pengajian

Setelah bertahun-tahun menuntut ilmu, semestinya hari graduasi yang menandakan tamatnya pengajian adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh semua pelajar universiti. Setelah bertungkus-lumus sepanjang berada di universiti, dengan tamatnya pengajian, mereka akan mendapat kebebasan yang diinginkan dan menjejakkan kaki di alam baru dalam perjalanan hidup iaitu alam pekerjaan atau alam ijazah Sarjana bagi yang ingin meneruskan perjalanan dalam bidang pembelajaran. Walau apa pun perjalanan yang dipilih, graduan haruslah bersedia untuk menempuhnya. Berikut adalah beberapa tips persediaan tamat pengajian yang boleh digunakan oleh pelajar universiti yang bakal menempuh tamat pengajian tidak lama lagi. 
 
 
1. Membuat kajian tentang langkah seterusnya
Sebelum anda tamat pengajian, anda haruslah membuat kajian tentang langkah dan jalan yang boleh anda ambil setelah tamatnya pengajian. Sekiranya anda ingin menyambung pelajaran, anda boleh membuat kajian tentang program-program ijazah Sarjana yang ditawarkan oleh universiti tempatan atau universiti di luar negara. Sekiranya anda ingin memasuki alam pekerjaan, anda haruslah membuat kajian tentang kerja-kerja yang sesuai dengan ijazah anda dan syarikat-syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada graduan universiti. 
 
 
2. Meningkatkan kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah
Anda juga haruslah meningkat kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi dan kemahiran penyelesaian masalah sebelum tamat pengajian. Ini adalah kerana kemahiran seperti berikut amat diperlukan dalam alam pekerjaan setelah anda tamat pengajian. Anda akan memerlukan kemahiran tersebut untuk temuduga pekerjaan. Syarikat dan organisasi pekerjaan juga akan lebih cenderung untuk memilih graduan yang petah berkata-kata dan cekap dalam menyelesaikan masalah. Kemahiran tersebut juga diperlukan jika anda ingin menyambung pelajaran dan mengambil Ijazah Sarjana.
 
3. Semak dan perbaiki resume
Anda haruslah menyemak dan memperbaiki resume anda sebelum tamat pengajian dan sebelum mengedarkannya kepada syarikat dan organisasi. Resume yang lengkap dan kemas akan dapat menarik perhatian syarikat dan organisasi dan dapat menentukan jika anda layak untuk mendapat pekerjaan yang ditawarkan. 
 
 
4. Membina hubungan melalui LinkedIn
LinkedIn atau aplikasi pencarian kerja dalam talian yang lain adalah sangat bermanfaat untuk para graduan. Dengan mendaftar dan mempunyai akaun LinkedIn, anda akan dapat membina hubungan dengan pelbagai syarikat dan organisasi, sama ada kecil atau besar. Graduan yang proaktif dalam membina hubungan di aplikasi seperti LinkedIn akan dapat menarik perhatian organisasi dan seterusnya mendapat tawaran pekerjaan. Oleh itu, sentiasa semak aplikasi pencarian kerja seperti LinkedIn untuk tawaran pekerjaan untuk para graduan.
 

Tarikh Input: 06/08/2021 | Kemaskini: 06/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcVAM~