Oleh: Puan Ayna Marliana Mohamad Sari

PUTRAJAYA, 23 Januari – Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah melaksanakan Bengkel Pelan Strategik dan Hala Tuju BKUPM 2026 sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh perancangan serta hala tuju perkhidmatan kaunseling universiti bagi tahun 2026. Bengkel ini menekankan kepentingan pembangunan profesional dan kesejahteraan mental bagi memastikan perkhidmatan kaunseling yang disediakan sentiasa relevan, berkesan dan selari dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia.
Bengkel yang berlangsung pada 20 Disember 2025 (Sabtu) ini diadakan di Palm Garden Hotel, Putrajaya, bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Seramai 16 orang staf BKUPM, termasuk pegawai psikologi dan staf pelaksana, terlibat secara aktif dalam bengkel ini. Penyertaan mereka memberi peluang untuk perkongsian pengalaman, idea dan pengetahuan secara menyeluruh bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunseling universiti.
Penganjuran bengkel ini bertujuan menyediakan platform perbincangan strategik bagi warga BKUPM, di mana pencapaian sepanjang tahun 2025 dapat dinilai secara menyeluruh, cabaran semasa dikenal pasti dan strategi serta sasaran untuk tahun 2026 dapat dirangka dengan lebih berfokus. Fokus utama bengkel ini adalah memastikan program kaunseling dan kesejahteraan kampus memberi impak positif kepada warga universiti, selaras dengan usaha universiti mewujudkan persekitaran kampus yang kondusif dan menyokong kesejahteraan holistik.
Dalam ucapannya, Ketua Bahagian, Dr. Mazila Ghazali menekankan kepentingan pembangunan profesional berterusan dan kolaborasi berfokus. Beliau menyatakan bahawa bengkel ini merupakan platform utama bagi memperkukuh kerja berpasukan, memperhalusi objektif strategik dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunseling untuk warga universiti.
Sepanjang bengkel, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan perbincangan yang menumpukan kepada analisis prestasi, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) dan pembentangan rangka Pelan Strategik BKUPM 2026. Selain itu, perbincangan turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan mental, pembangunan kendiri, kaunseling kerjaya, serta pengukuhan sistem sokongan psikologi universiti, bagi memastikan perkhidmatan kaunseling sentiasa responsif kepada keperluan warga kampus.
Pelaksanaan bengkel ini mencerminkan komitmen BKUPM dalam meningkatkan profesionalisme, kolaborasi dan keselarasan kerja dalam kalangan staf, sambil menyokong usaha universiti mewujudkan persekitaran kampus yang lebih sejahtera dan kondusif. Diharapkan hasil bengkel ini menjadi panduan utama kepada pelaksanaan program dan inisiatif BKUPM sepanjang tahun 2026, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan warga kampus Universiti Putra Malaysia secara holistik dan berterusan.





Tarikh Input: 23/01/2026 | Kemaskini: 23/01/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia