Bimbingan Kerjaya Ekslusif Untuk Bakal Graduan | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » Bimbingan Kerjaya Ekslusif untuk Bakal Graduan

Bimbingan Kerjaya Ekslusif untuk Bakal Graduan

SERDANG: Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah melancarkan Klinik Resume@PUTRA pada 2 Ogos 2021. Program ini adalah merupakan insiatif BKUPM dalam membantu pelajar tahun akhir mempersiapkan diri dalam menghasilkan resume dan surat iringan yang efektif. Kaedah pelaksanaan program adalah secara dalam talian dan ekslusif dengan mendapatkan bimbingan daripada Kaunselor secara individu.

 

Klinik Resume@Putra ini merupakan satu program yang dijalankan untuk memberi bimbingan dan penjelasan lebih lanjut mengenai teknik menulis resume yang menepati syarat dan keperluan majikan. Resume merupakan satu pengenalan ringkas tentang individu yang dijadikan rujukan untuk majikan menilai kriteria yang dikehendaki. Resume yang berkualiti dan terbaik mampu menjadi tiket dan memberikan first impression untuk mendapat panggilan temuduga.

 

Di era persaingan kerja yang semakin tinggi kini, graduan adalah dituntut untuk lebih kreatif dalam menyampaikan permohonan pekerjaan agar mendapat perhatian daripada pihak majikan.

Walaupun tidak dapat dinafikan, terdapat banyak panduan menghasilkan resume yang berkualiti hanya dengan pencarian di internet. Namun, adakah panduan tersebut 100% menggambarkan potensi dan kelebihan yang ada pada seseorang graduan itu sendiri, ini kerana contoh yang diberikan adalah bersifat umum.

 

Oleh yang demikian, sejajar dengan tuntutan tersebut melalui program ini, para pelajar akan dibantu secara individu dalam menghasilkan resume berdasarkan kelebihan dan potensi diri yang dipunyai oleh individu tersebut. Selain itu, para pelajar juga dibantu dan diberi pendedahan dalam penyediaan surat iringan dan tatacara permohonan yang dilakukan dengan menggunakan e-mel.

 

Impak daripada pelaksanaan program ini kepada universiti adalah secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan. Selain itu, kepada para peserta, dengan ilmu yang dipelajari dapat menghasilkan resume yang berkualiti dan akhirnya dapat menawan hati majikan.

 

Tarikh Input: 12/11/2021 | Kemaskini: 12/11/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEeTAI~