Oleh : Puan Kamariah Derasol K.B.;P.A.
SERDANG, 31 Mei – Bahagian Kaunseling UPM berjaya menganjurkan Program 3K@ UPM bersama Majlis Guru Kaunseling Keramat dan Pejabat Pendidikan Daerah Keramat baru-baru ini. Program ini telah berlansung pada 8 Mei 2024 bermula jam 8:30 pagi sehingga 4:30 petang di Bahagian Kaunseling UPM. Pengisian utama program ini adalah Kursus Profesionalisme Guru Bimbingan dan Kaunseling Daerah Keramat di mana seramai 42 orang Guru Bimbingan Kaunseling Daerah Keramat mempelajari ilmu dan kemahiran dari Pegawai Psikologi UPM, menjalani aktiviti terapi seni dan perkongsian ilmu amalan terbaik kaunseling serta inovasi kaunseling .
Program dimulakan dengan pendaftaran , sesi pengenalan fasilitator dan senaman ringan yang dikendalikan oleh fasilitator dari UPM. Seramai 4 orang fasilitator mahasiswa Bacelor Pendidikan Bimbingan Kaunseling telah mengelolakan aktiviti senaman, aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan sesi terapi seni. Sesi aktiviti kelompok terapi seni ‘Mandala” menzahirkan kekuatan dalaman yang ada pada peserta dari aspek resilien diri di alam kerjaya.
Slot pertama perkongsian ilmu disampaikan oleh Pegawai Psikologi Bahagian Kaunseling UPM, Puan Kamariah Derasol bertajuk ‘Trauma & Penyembuhan’. Perkongsian tajuk ini relevan dengan situasi guru kaunseling di sekolah yang berhadapan dengan murid yang menghadapi trauma dari pelbagai punca. Peserta juga berpeluang mempelajari Teknik untuk membantu klien yang menghadapi trauma agar kembali pulih emosinya.
Slot kedua adalah sesi pembentangan Amalan Baik Kaunseling oleh Puan Nurul Syuhada dari SMK Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. Pembentangan kedua pula adalah perkongsian pengalaman inovasi dalam bidang kaunseling yang disampaikan oleh Puan Siti Zubaydah dari SMK Zon R1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Program komuniti ini bukan sahaja memberi manafaat dan guru bimbingan kaunseling dari komuniti daerah Keramat malahan kepada pelajar kaunseling UPM.
Para peserta juga diberikan ruang untuk berinteraksi dan bertanya soalan di dalam slot perkongsian pengalaman di sekolah. 15 orang Mahasiswa UPM dari program Bacelor Kaunseling dan Masters Kaunseling mendapat pencerahan menganai realiti perlaksanaan kaunseling dari guru bimbingan Kaunseling yang sangat berpengalaman. Proses pemindahan ilmu dari pegawai UPM kepada komuniti dan dari Guru Bimbingan Kaunseling di komuniti menjadikan program ini bertimbal balik dan memberikan faedah kepada kedua-dua belah pihak.
Penutup majlis diserikan dengan penyampaian cenderamata sijil penghargaan dari Pejabat Pendidikan Daerah Keramat kepada Bahagian Kaunseling UPM yang diwakili oleh Puan Kamariah Derasol selaku penyelaras program. Sijil penghargaan turut disampaikan kepada fasilitator program dan pembentang.
Program ini diakhiri dengan sesi fotografi bagi mengabadikan memori dan dokumentasi aktiviti BKUPM. Semoga program ini dapat menyebarluaskan ilmu kaunseling dari UPM kepada komuniti selari dengan motto UPM “ Berilmu Berbakti”.




Tarikh Input: 31/05/2024 | Kemaskini: 31/05/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia