Oleh : Puan Wan Azurani binti Wan Ahmad K.B.;P.A.
SERDANG, 27 Februari - Bahagian Kaunseling UPM (BKUPM) mengambil langkah signifikan untuk memperkukuh kesedaran kesihatan mental di kalangan pelajar UPM. BKUPM telah melancarkan beberapa inisiatif yang bertujuan mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental.
Salah satu komponen utama inisiatif ini adalah membangunkan “Tatacara Pengurusan Kes Kesihatan Mental dalam Kalangan Pelajar di Universiti Putra Malaysia," yang menyediakan garis panduan komprehensif untuk pengendalian kes kesihatan mental di peringkat Universiti. Panduan ini bertujuan untuk memastikan pelajar menerima sokongan dan intervensi yang diperlukan dengan pantas dan efisien.
BKUPM juga telah menyediakan pelbagai poster informatif yang memberikan tip-tip pengurusan emosi dan diri atau tip-tip panduan dalam menangani pelbagai isu berkaitan kesihatan mental. Melalui poster informatif yang disediakan diharap agar pelajar mendapat bantuan sokongan awal yang diperlukan. Poster berkaitan juga telah dipanjangkan kepada warga universiti melalui buletin UPM, emel rasmi pelajar atau menerusi media sosial rasmi BKUPM sama ada di Laman Sesawang (Website), Instagram, Facebook, Tik Tok dan lain-lain medium bagi memastikan pelajar menyedari perkhidmatan sokongan yang ada.
Selain itu, BKUPM juga telah menyediakan panel kaunselor untuk kolej kediaman, memudahkan pelajar mendapatkan sokongan kesihatan mental dalam persekitaran tempat tinggal mereka. Seramai tiga belas (13) orang Pegawai Psikologi BKUPM telah dibahagikan mengikut kolej-kolej kediaman di UPM. Pelajar atau pengurusan kolej boleh menghubungi kaunselor kolej masing-masing bagi mendapatkan perkhidmatan kaunseling atau bantuan sekiranya memerlukan.
Untuk maklumat lanjut atau bantuan, pelajar juga digalakkan untuk datang terus ke BKUPM. Kami sentiasa komited untuk mewujudkan persekitaran kampus yang menyokong kesejahteraan diri dan mental warga kampus khususnya untuk semua pelajar UPM.

Pautan lanjut : https://bkupm.upm.edu.my/upload/dokumen/20250225120310Tatacara_Pengurusan_Kes_Kesihatan_Mental_dalam_Kalangan_Pelajar_di_Universiti_Putra_Malaysia.pdf
Tarikh Input: 28/02/2025 | Kemaskini: 28/02/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia