Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.
SERDANG, 26 Jun – Seksyen Kaunseling Kerjaya, Bahagian Kaunseling UPM (BKUPM) telah dijemput untuk menyertai Engineering Career Development Day yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia. Program ini dilaksanakan pada 25 Jun 2025 hari Khamis bermula jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari yang bertempat di Ruang Legar, Fakulti Kejuruteraan, UPM.

Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan serta membina jaringan profesional dengan organisasi luar. Sebagai salah satu pengisian utama, BKUPM telah membuka reruai kerjaya yang menyediakan perkhidmatan bimbingan kerjaya kepada para pelajar. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah semakan resume, simulasi temuduga, dan sesi konsultasi individu berkaitan perancangan kerjaya. Kehadiran reruai ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pelajar, khususnya yang sedang menanti peluang pekerjaan selepas tamat pengajian. Program ini turut disertai oleh 10 organisasi besar yang mewakili pelbagai cabang kejuruteraan termasuk kejuruteraan awam, mekanikal, kimia, dan elektrik. Kehadiran syarikat-syarikat ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat tentang kerjaya dalam industri, malah turut menyediakan sesi temuduga terbuka bagi calon yang berpotensi. Menurut Dr. Hazwan selaku wakil penganjur, beliau menyatakan keterbukaannya untuk terus bekerjasama dengan pihak kaunseling bagi menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelajar. “Kami amat mengalu-alukan khidmat kaunseling dalam membantu pelajar membuat persiapan mental dan fizikal untuk menghadapi alam kerjaya yang mencabar,” ujar beliau. Melalui penglibatan aktif ini, BKUPM terus menunjukkan komitmen dalam membantu pembangunan kerjaya pelajar UPM dan menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

Tarikh Input: 26/06/2025 | Kemaskini: 26/06/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia