CIT CAT PUTRA FM BERSAMA KAUNSELOR : BEST BEKERJA! | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » CIT CAT PUTRA FM BERSAMA KAUNSELOR : BEST BEKERJA!

CIT CAT PUTRA FM BERSAMA KAUNSELOR : BEST BEKERJA!

Oleh : Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari

SERDANG, 12 Disember - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) bakal menutup tirai tahun 2025 dengan program istimewa “CIT CAT Putra FM Bersama Kaunselor: Best Bekerja!”, yang merupakan siri terakhir (siri ke-12) dalam rangkaian program kaunseling tahunan. Acara ini dijadual berlangsung pada 16 Disember 2025 (Selasa), jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang, di udara Putra FM 90.7 MHz dan penstriman atas talian.

Program ini menampilkan Dr. Ansarul Haq bin Tahrir Adli, Kaunselor Profesional dari Bahagian Kaunseling UPM, yang akan berkongsi strategi praktikal dan psikologi untuk menjadikan pekerjaan lebih menyeronokkan dan memuaskan. Menurut Dr. Ansarul, ramai pekerja kini menghadapi tekanan dan keletihan akibat rutin kerja yang monoton, sekali gus menyebabkan burnout. “Sesi ini akan kupas apa maksud sebenar ‘Best Bekerja’, mengenal pasti tanda awal kerja mula hilang keseronokkan, serta strategi praktikal untuk mengembalikan kepuasan dalam kerja,” katanya.

Program ini turut menekankan faktor psikologi yang mempengaruhi kebahagiaan pekerja serta peranan organisasi dan majikan dalam memastikan pekerja merasa dihargai dan bermotivasi. Antara isu biasa yang sering dihadapi termasuk kurangnya pengiktirafan, tekanan kerja berterusan, dan hilangnya keseimbangan kerja-hidup.

Acara ini terbuka kepada semua pendengar Putra FM, warga UPM dan orang awam yang berminat mengikuti sesi secara langsung atau penstriman atas talian. Orang ramai boleh mengikuti sesi ini melalui Facebook Live Bahagian Kaunseling UPM, Facebook Live Putra FM, atau penstriman di laman web Putra FM.

Sebagai siri penutup tahun, program ini diharap dapat memberikan inspirasi dan panduan praktikal kepada semua pekerja untuk mengekalkan kepuasan dan motivasi dalam pekerjaan. Dengan pendekatan interaktif, sesi ini bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga membuka ruang untuk warga UPM dan pendengar membina pengalaman kerja yang lebih menyeronokkan.

 

Tarikh Input: 12/12/2025 | Kemaskini: 12/12/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
X, (10:03:38am-10:08:38am, 16 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]