🎧CIT CAT PUTRA FM BERSAMA KAUNSELOR: Work Life Balance | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » 🎧CIT CAT PUTRA FM BERSAMA KAUNSELOR: Work Life Balance

🎧CIT CAT PUTRA FM BERSAMA KAUNSELOR: Work Life Balance

UPM Serdang, 29 September 2023 – CIT CAT Putra FM Bersama Kaunselor UPM pada kali ini bersama Ketua Bahagian Kaunseling UPM, Dr. Mazila Ghazali. Perkongsian telah dijalankan pada 29 Ogos 2023, pada hari Selasa pada jam 12.00 tengah hari sehingga 1.00 petang di konti Putra FM. Menariknya topik pada kali ini adalah berkaitan Work Life Balance yang difikirkan sesuai untuk semua pendengar terutamanya warga Universiti Putra Malaysia.

Kebelakangan ini, terdapat banyak penekanan yang dibuat mengenai kepentingan untuk mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan (work life balance). Keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan adalah satu konsep di mana seseorang individu itu memberikan keutamaan yang optimum antara kerja dan kehidupan. Keseimbangan ini berlaku apabila individu memperuntukkan sumber mental, fizikal dan emosi yang terhad dengan cara sesuai untuk mencapai matlamat yang diinginkan.
Keseimbangan kerja dan kehidupan bukan bermaksud masa terbahagi kepada 50 peratus bekerja dan 50 peratus di rumah. Salah faham beginilah yang sering menjadikan sesorang itu merasa bersalah apabila lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah atau sebaliknya. Sebenarnya, setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza dan individu itu sendirilah yang lebih tahu bagaimana untuk meletakkan keutamaan dalam hidup supaya keseimbangan itu dapat dicapai. Keseimbangan itu tidak akan menjadi tetap pada setiap masa kerana kita perlu sentiasa mengubahnya mengikut keperluan. Ini kerana semua orang akan mempunyai keutamaan yang berbeza pada setiap fasa kehidupan. Sasaran penglibatan adalah kepada warga UPM dan semua pendengar di PUTRA FM Frenkuensi FM 90.7 MHz (Sekitar Seri Kembangan) dan Facebook Bahagian Kaunseling UPM (https://www.facebook.com/bkupm).

Dr. Mazila berkongsi cara yang boleh digunakan untuk mentaksir keseimbangan kerja dan kehidupan ialah melalui roda kehidupan (wheel of life). Secara asasnya, roda kehidupan terbahagi kepada bahagian atau kategori yang penting untuk kita. Sebagai contoh kita boleh senaraikan apa perkara yang penting dalam kehidupan kita dan ia tidak semestinya sama dengan orang lain. Antara contoh yang telah dikongsikan adalah kerjaya (career), kewangan (finances), perkembangan peribadi (personal growth), perhubungan (relationships), kesihatan (health), keluarga (family), kehidupan sosial (social life) dan sikap (attitude).
Turut dikongsikan berkaitan simptom ketidakseimbangan akan menimbulkan konflik dalam diri serta menjadi punca utama stres dalam kehidupan. Stres bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan mental tetapi juga mengganggu kesihatan fizikal dan tingkah laku. Selain itu antara halangan yang sering didapati ialah, kekangan masa, dimana pengurusan masa dan perancangan adalah sangat penting. Tidak tahu apa yang dimahukan dalam hidup, gagal menetapkan batasan antara kerja dan keluarga, terlalu mengejar kerjaya sehingga mengorbankan keluarga, begitu juga sebaliknya.

Justeru keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan bukanlah satu konsep yang mudah dan sempurna. Adakalanya kita perlu mengorbankan sesuatu perkara untuk mencapai sesuatu perkara yang lain. Untuk itu, kita perlu tahu apa yang kita inginkan dalam hidup dan elakkan dari membandingkan hidup kita dengan orang lain. Keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan yang ingin dicapai adalah mengikut kehendak dan definisi kita. Paling penting kita menghargai diri kita dengan konsep I love my self supaya kita dapat seimbangkan antara peribadi dan juga pekerjaan. Dimana kita ingin cemerlang di organisasi dan cemerlang juga di rumah serta tidak membebankan orang lain baik keluarga mahupun rakan sekerja.

Semoga dengan perkongsian ini dapat meningkatkan motivasi diri dan pekerjaan semua pendengar. Jadilah pekerja yang sentiasa memberikan komitmen terhadap kerja yang diamanahkan kerana sumber rezeki utama kita adalah melalui organisasi tempat kita bekerja. Rezeki ini jugalah yang akan dikongsi bersama keluarga. Semoga rezeki kita semua diberkati oleh Allah SWT.

 

Tarikh Input: 29/09/2023 | Kemaskini: 29/09/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEeUAa~