Oleh : Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari
SERDANG, 29 Mac - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan rakan kerjasama Pusat Tanggungjawab Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM telah menyertai Program Memasak Bubur Lambuk anjuran Pusat Islam UPM dan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM yang berlangsung di Masjid UPM pada hari Selasa, 25 Mac 2025.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga UPM dan warga kerja Pusat Tanggungjawab UPM, terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan yang penuh berkat. Bubur lambuk yang disediakan dengan penuh kasih sayang ini akan diedarkan secara percuma kepada semua yang hadir, termasuk para pelajar, staf UPM dan pengunjung masjid.

Menurut Ketua Bahagian Kaunseling UPM, Dr. Mazila Ghazali, program ini merupakan salah satu usaha untuk menggalakkan budaya gotong-royong dalam kalangan warga universiti. “Kami berharap agar program ini bukan sahaja dapat menyediakan hidangan berbuka puasa yang lazat, tetapi juga memberi peluang kepada semua untuk merasai semangat kebersamaan dan saling membantu,” katanya.
Seramai 17 orang warga kerja Bahagian Kaunseling UPM menyertai program ini. Dua periuk belanga digunakan untuk memasak bubur lambuk oleh Bahagian Kaunseling UPM bersama rakan-rakan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM. Setiap pek bubur lambuk ini disediakan dengan menggunakan bahan-bahan segar dan berkualiti, di samping mematuhi kebersihan.
Program ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab lain, yang datang bukan sahaja untuk menikmati hidangan bubur lambuk tetapi juga untuk menyertai aktiviti-aktiviti lain yang diadakan mingguan.
Pusat Islam UPM turut memberikan sokongan penuh terhadap program ini dengan menyediakan kemudahan tempat di Masjid UPM, manakala Fakulti Pengajian Pendidikan UPM memberikan bantuan dalam aspek pengurusan dan penyelarasan acara.
Setiausaha Kelab Kebaikan dan Rekreasi Bahagian Kaunseling UPM iaitu Puan Ayna menyatakan bahawa "Program Memasak Bubur Lambuk ini diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai satu tradisi yang membawa manfaat kepada seluruh warga UPM."

Tarikh Input: 29/03/2025 | Kemaskini: 29/03/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia