Emosi Sejahtera, Nikmati Ketenangan | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » Emosi Sejahtera, Nikmati Ketenangan

Emosi Sejahtera, Nikmati Ketenangan

Oleh: Puan Wan Azurani binti Wan Ahmad K.B.;P.A.

SERDANG, 24 September - Slot Cit Cat Putra FM Bersama Kaunselor, bersiaran lagi bagi siri kelapan (8) dengan topik ‘Emosi Sejahtera, Nikmati Ketenangan’. Program ini bersiaran secara langsung pada hari selasa, jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang menerusi radio Putra FM, FBMK, di frekuensi 90.7 MHz (sekitar Lembah Klang) dan interaktif penstriman langsung di www.putrafm.edu.my dan FB rasmi Putra FM dan Bahagian Kaunseling UPM.
Pada siri kali ini, Puan Kemelia Omar selaku kaunselor jemputan berkongsi dan mengupas lanjut berkaitan topik.
Menurut Puan Kemelia, emosi sejahtera merujuk kepada keadaan emosi yang stabil, positif dan sihat. Ia menggambarkan keadaan di mana seseorang individu mempunyai keseimbangan emosi yang baik dan dapat mengatasi cabaran hidup dengan baik. Mengupas lanjut berkaitan ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh individu yang seimbang emosi, beliau menerangkan ciri-cirinya adalah; apabila individu tersebut dapat mengawal dan mengimbangi emosi, dapat menguruskan stres dengan berkesan, dapat menjalinkan hubungan sosial yang positif. Individu tersebut juga mempunyai dan mempraktikkan kemahiran pengurusan diri, mempunyai rasa syukur dan sentiasa positif, dapat menyeimbangkan antara kerja dan kehidupan serta boleh beradaptasi dalam pelbagai suasana. Bagi individu yang mempunyai ciri-ciri ini, mereka akan merasa tenang dan seterusnya mencapai kepuasan diri.
Dalam menangani emosi sendiri, timbul persoalan bagaimanakah cara untuk kita menilai dan memahami keadaan emosi diri?
Bagi menjawab persoalan ini, cuba kita tanya diri sendiri ‘Bagaimana perasaan saya pada hari ni? Bagaimana hubungan saya dengan orang di sekeliling? Adakah saya tertekan atau terbeban dengan beban kerja saya? Apakah aktiviti atau situasi yang membantu saya rasa lebih baik? Apakah punca utama yang mempengaruhi emosi saya?’. Jika kita dapat menjawab persoalan tersebut, dan menemui jawapan untuk diri sendiri, sedikit sebanyak kita dapat menilai dan memahami emosi diri sendiri. Seterusnya dapat mencari jalan dan cara terbaik mengawal emosi sendiri.
Apakah pendekatan yang berkesan untuk mengekalkan emosi sejahtera?

Menurut Puan Kemelia juga, bagi mengekalkan emosi sejahtera kita perlu :-
1. Kenali dan fahami emosi diri.
2. Amalkan teknik relaksasi.
3. Menjaga keseimbangan kerja dan kehidupan (worklife balanced)
4. Komunikasi yang sihat.
5. Amalkan sikap positif.
6. Mendapatkan sokongan sosial

Bagaimana pula langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu seseorang (rakan/ ahli keluarga) mencapai emosi sejahtera?
Menurut Puan Kemelia, kita bukan sahaja perlu menjaga emosi sendiri, bahkan kita boleh turut sama membantu orang lain, seperti keluarga, rakan-rakan dalam mencapai emosi sejahtera agar mereka juga dapat menikmati ketenangan dalam kehidupan. Antara tip yang boleh dijadikan panduan dan boleh kita praktiskan adalah :-

1. Mendengar dengan empati.
2. Validasi perasaan mereka.
3. Menawarkan sokongan emosi.
4. Bantu mencari khidmat profesional

Kesimpulannya, emosi sejahtera bukan hanya tentang berasa bahagia sepanjang masa, tetapi lebih kepada mempunyai kaedah atau strategi untuk menangani emosi anda dengan cara yang sihat, serta mampu mengekalkan keseimbangan dan kestabilan dalam pelabagi aspek kehidupan.
Para pembaca yang ingin mendengar keseluruhan berkaitan topik yang dibincangkan boleh ke laman Facebook Rasmi Bahagian Kaunseling https://www.facebook.com/bkupm untuk mendengar lebih lanjut.
Semoga perkongsian kaunselor di konti Putra FM ini memberikan manfaat kepada seluruh pendengar!

Tarikh Input: 30/09/2024 | Kemaskini: 30/09/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (05:09:41pm-05:14:41pm, 24 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]