GOTONG-ROYONG PERDANA EKSA BKUPM BERGANDA SEPTEMBER 2025 | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » GOTONG-ROYONG PERDANA EKSA BKUPM BERGANDA SEPTEMBER 2025

GOTONG-ROYONG PERDANA EKSA BKUPM BERGANDA SEPTEMBER 2025

Oleh : Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari 

SERDANG, 27 September - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah melaksanakan dua siri Gotong-Royong Perdana EKSA sepanjang September 2025, sebagai usaha berterusan mewujudkan ruang kerja yang lebih ceria, selamat dan kondusif.

Siri pertama berlangsung pada 12 September 2025 dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, dengan penglibatan warga BKUPM dalam pembersihan dan pengindahan kawasan luar serta dalam bangunan. Aktiviti ini memberi fokus kepada penyusunan semula ruang pejabat, pembersihan dokumen serta pengindahan landskap, dengan slogan motivasi “Ruang yang kemas, hati pun tenang” dan “Bila semua main peranan, kerja jadi ringan dan lancar”. Gotong-royong ini berjaya mengukuhkan semangat kerjasama warga bahagian sambil menceriakan suasana kerja. Aktiviti ini melibatakan semua warga BKUPM 16 orang yang terdiri daripada Pegawai Psikologi dan Staf Pelaksana.

Siri kedua pula diadakan pada 25 dan 26 September 2025, bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, bertempat di Foyer BKUPM. Aktiviti ini memberi tumpuan kepada pengurusan kawasan pelupusan sementara dan penyusunan semula peralatan yang tidak lagi digunakan. Peserta digalakkan membawa sarung tangan dan air minuman sendiri demi keselesaan sepanjang aktiviti. Dengan berpakaian sukan, warga BKUPM berganding bahu untuk memastikan ruang kerja lebih sistematik, selamat, dan bebas halangan.

Menurut penyelaras EKSA BKUPM, penganjuran gotong-royong secara konsisten adalah bukti komitmen bahagian dalam menyokong amalan EKSA. “Gotong-royong bukan sekadar aktiviti kebersihan, tetapi medan untuk membina semangat kebersamaan, memupuk rasa tanggungjawab bersama dan menambah baik persekitaran kerja secara menyeluruh,” jelas beliau.

Menariknya, siri kali ini turut mendapat sokongan daripada pelajar sukarelawan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM, yang bersama-sama turun padang membantu menjayakan aktiviti. Kehadiran mereka bukan sahaja meringankan tugasan, malah menyerlahkan nilai kebersamaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Dengan penyertaan menyeluruh staf, kedua-dua siri gotong-royong ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif kebersihan fizikal, malah meningkatkan rasa kepemilikan bersama terhadap persekitaran kerja. Penganjuran berganda sepanjang September ini mencerminkan kesungguhan BKUPM dalam memperkukuh budaya kerja kondusif dan sistematik, selaras dengan aspirasi universiti membudayakan EKSA.

Tarikh Input: 27/09/2025 | Kemaskini: 27/09/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (12:10:45pm-12:15:45pm, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]