Oleh: Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari
Serdang, 29 Ogos – Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) UPM telah menganjurkan program Jerayawara BKUPM Siri 4 pada 25 dan 26 Ogos 2025 bertempat di Ruang Legar Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang itu telah menarik penyertaan warga kampus yang terdiri daripada pelajar dan staf serta komuniti yang hadir ke perpustakaan tersebut. Penganjuran ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal, meningkatkan kesedaran, serta menyokong kesejahteraan diri, kerjaya dan kesihatan mental melalui pendekatan interaktif dan mesra komuniti.

Antara pengisian utama program termasuk sesi interaktif bersama kaunselor, saringan kesihatan mental dan ujian personaliti. Melalui aktiviti ini, peserta berpeluang menilai tahap kesejahteraan psikososial masing-masing, mengenal pasti kekuatan dan potensi diri, serta mendapatkan bimbingan awal daripada kaunselor yang berpengalaman.
Menurut Ketua Program, Dr. Ansarul Haq bin Tahrir Adli, penganjuran siri jerayawara ini bukan sahaja mendekatkan perkhidmatan kaunseling kepada warga kampus, malah membina kefahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan kesejahteraan mental.
“Melalui program ini, kita mahu mengubah persepsi bahawa kaunseling hanya untuk mereka yang bermasalah. Sebenarnya, ia adalah ruang sokongan dan pengukuhan diri yang boleh dimanfaatkan oleh semua warga universiti untuk terus cemerlang dalam akademik, kerjaya dan kehidupan,” ujar beliau.
Selain itu, program ini turut menyokong agenda universiti dalam memperkasa pembangunan holistik pelajar dan staf. BKUPM melihat keperluan untuk mewujudkan ruang sokongan di luar bilik kaunseling agar perkhidmatan psikososial dapat diakses dengan lebih mudah dan santai. Pendekatan jerayawara ini membolehkan pihak kaunselor mendekati komuniti kampus dalam suasana yang lebih terbuka, di samping mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental.

Penganjuran Jerayawara Siri 4 ini juga menegaskan komitmen BKUPM untuk melaksanakan program secara berterusan sebagai usaha menyemarakkan budaya kesejahteraan mental di kampus. Dengan adanya inisiatif sebegini, warga UPM bukan sahaja berpeluang meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga keseimbangan emosi dan mental, malah turut mendapat sokongan praktikal dalam menghadapi cabaran akademik dan kerjaya.
BKUPM percaya bahawa kesejahteraan mental adalah asas penting dalam melahirkan warga universiti yang cemerlang, berdaya tahan, serta mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat. Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan universiti dalam membudayakan sokongan psikososial yang inklusif dan holistik.


Tarikh Input: 29/08/2025 | Kemaskini: 29/08/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia