Oleh : Encik Mohamad Ashaari bin Awab K.B.;P.A.
BANGI, 21 Jun – Program KAMI PEKERTI@UPM 2025 bertemakan “Cakna Diri, Seksualiti dan HIV” telah berjaya dilaksanakan di Ball Room 1, Hotel Tenera, Bangi, bermula jam 7.00 pagi sehingga 6.00 petang yang melibatkan 61 mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dari pelbagai fakulti dan kelab.
Program anjuran Bahagian Kaunseling UPM ini dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM dan Pusat Kesihatan Universiti, serta mendapat tajaan daripada Majlis AIDS Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

Dengan pendekatan interaktif, peserta didedahkan kepada isu berkaitan seksualiti, batas pergaulan serta pencegahan HIV/AIDS. Penceramah profesional dan fasilitator turut menyampaikan simulasi serta perkongsian realiti sosial semasa.
Menurut Pengarah Program, En. Mohamad Ashaari bin Awab, “Program ini bukan hanya meningkatkan kefahaman pelajar, tetapi memperkasa mereka untuk membuat keputusan bijak, membina nilai diri dan jati diri, serta menjadi agen perubahan kepada rakan-rakan sebaya di kampus.”
Peserta memberikan maklum balas sangat positif – 100% melaporkan peningkatan pemahaman terhadap isu HIV/AIDS, manakala 89.3% memberikan skor maksimum terhadap manfaat program.
Ketua Bahagian Kaunseling UPM dalam ucapan perasmian menyatakan, “Dalam dunia moden, pendidikan seksualiti dan kesedaran HIV bukan lagi tabu, sebaliknya ia adalah keperluan untuk membina mahasiswa yang bijak, berani, dan cakna terhadap kesihatan serta maruah diri.”
Antara cadangan peserta termasuk memanjangkan tempoh program kepada dua hari satu malam dan menambah aktiviti praktikal bagi memastikan kesan berpanjangan.


Tarikh Input: 26/06/2025 | Kemaskini: 26/06/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia