Karnival Putra Holistik (KPH) | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » Karnival Putra Holistik (KPH)

Karnival Putra Holistik (KPH)

UPM Serdang, 23 Jun - Sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang pertama iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang, Bahagian Kaunseling UPM (BKUPM) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Putra Holistik (KPH) bagi tahun 2023. Penganjuran karnival selama satu hari ini adalah kerjasama antara Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP). Penganjuran karnival ini juga bertepatan dengan Pelan Strategik HEPA 2001-2023 melalui Teras 8 iaitu 'kehidupan kampus'. Program KPH ini dijalankan pada 10 Jun 2023 bermula jam 7.00 Pagi sehingga 5.30 Petang yang bertempat di Kolej Tun Dr. Ismail.

 

Selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 turut menekankan pelaksanaan program bersifat psikologikal, emosi, intelektual dan sosial (PEIS), oleh itu karnival ini memberi fokus kepada aspek kesihatan secara holistik meliputi kesihatan fizikal, mental dan psikologikal. Pendekatan program secara fizikal ini adalah diharapkan mampu memberikan pengalaman yang berbeza buat peserta. Seramai 430 pelajar yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan. Diharapkan inisiatif penganjuran program Karnival Putra Holistik dapat meningkatkan kesejahteraan secara holistik buat pelajar Universiti Putra Malaysia yang mendepani cabaran pada masa akan datang.

 

Menurut Encik Haniff, selaku pengarah KPH2023, “slot yang ramai dikunjungi pelajar adalah “Healing Street”. Pada slot ini pelajar dapat meluahkan perasaan dan pemikiran mereka melalui gambar dan warna. Slot ini juga diterajui oleh barisan kaunselor berpengalaman serta dibantu oleh kaunselor pelatih”. Antara pengisian utama dalam KPH2023 ialah Senam Robik, ‘Healing With Art Therapy’ dan Bengkel Kerjaya dengan topik Tip Tatarias Untuk Temuduga. Program ini telah memberi peluang kepada para pelajar merasai pengalaman menyertai aktiviti ‘outdoor’ seperti Treasure Hunt dan Sepak Penalti Futsal. “Saya cukup teruja dengan aktiviti ‘treasure hunt’ kerana ini adalah pengalaman pertama saya. Terima kasih BKUPM telah memberi ruang untuk saya mencabar kebolehan diri saya,” ucap Nor Atiqah, salah seorang peserta yang mengikuti setiap slot yang diadakan semasa karnival berlangsung.

 

Tarikh Input: 30/06/2023 | Kemaskini: 04/07/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEeXAt~