Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.
SERDANG, 13 Januari - Bahagian Kaunseling UPM meneruskan usaha mendidik warga kampus dengan kerjasama sama erat bersama Radio Putra.FM menganjurkan sesi bual bicara inspirasi melalui program “CITCAT Bersama Kaunselor" pada 10 Disember 2024. Topik yang bertajuk “The Power of 5 Second Thought” yang disampaikan oleh Kaunselor Puan Anis Akmilah. Pelaksanaan sesi bual bicara ini didengarkan pada Frekuensi FM 90.7 MHz (Sekitar Lembah Klang) dan tonton secara live Facebook Bahagian Kaunseling UPM (https://www.facebook.com/bkupm).
Perbincangan bersama penyampai radio DJ Hanis ini mengetengahkan kepentingan memberi ruang kepada diri untuk membuat refleksi pantas, tetapi bermakna, melalui teknik pemikiran lima saat. Menurut Puan Anis, teknik ini bukan sahaja membantu individu mengenali limitasi diri, tetapi juga menjadi alat untuk merungkai tabiat buruk yang telah menjadi kebiasaan.
“Dalam lima saat, kita mempunyai peluang untuk membuat pilihan. Sama ada meneruskan tindakan berasaskan emosi atau mengalihkan fokus kepada langkah yang lebih rasional,” jelas Puan Anis. Beliau menekankan bahawa teknik ini dapat membantu individu menjadi lebih terkawal dan sedar dalam membuat keputusan, terutamanya dalam situasi mencabar.
Selain itu, Puan Anis turut berkongsi kaedah praktikal untuk mengaplikasikan teknik ini dalam kehidupan seharian. Antara pendekatan yang dibincangkan termasuklah mengenal pasti pencetus emosi negatif, mengamalkan pernafasan dalam, dan mempraktikkan langkah “berhenti, fikir, dan bertindak”.
Sesi ini mendapat maklum balas positif daripada pendengar, yang menyifatkan perbincangan ini sebagai pendorong kepada perubahan positif dalam menangani cabaran hidup dan meningkatkan keseimbangan emosi.
Program seperti ini mencerminkan usaha Bahagian Kaunseling UPM dalam memperkasa kesejahteraan mental warga kampus, dengan memberi ruang kepada individu untuk mengenali diri dan mencipta perubahan positif melalui langkah-langkah kecil tetapi bermakna.

Tarikh Input: 13/01/2025 | Kemaskini: 13/01/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia