Oleh : Puan Noorihayatti binti Noorudin K.B.;P.A.
SERDANG, 27 Disember - Unit Perancangan Kerjaya, Bahagian Kaunseling UPM (BKUPM) telah menganjurkan Program Putra Career Choice dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden (FBMK) buat kali ke-6. Tujuan penganjuran program ini ialah untuk pembahagian bidang tumpuan pelajar Bacelor Komunikasi Dengan Kepujian dengan menawarkan empat bidang iaitu Komunikasi Korporat, Kemanusiaan, Kewartawanan dan Penyiaran. Sehubungan itu, Inventori Minat Kerjaya Sidek (IMKS) telah digunakan bagi membantu pihak fakulti untuk mendapatkan keselarasan di antara personaliti dan minat kerjaya pelajar.
Seramai 128 pelajar yang telah mengambil bahagian untuk menjawab IMKS ini pada 6 Disember 2024 bertempat di Auditorium Za’ba, FBMK dan diselaraskan oleh Dr. Jen-Sern Tham (Pensyarah Kanan, FBMK). Manakala, analisis keputusan telah dilaksanakan pada 9 -11 Disember 2024 oleh Puan Noorihayatti Noorudin selaku Penyelaras program peringkat bahagian dan dibantu oleh Encik Ansarul Haq Tahrir Adli (Pegawai Psikologi, BKUPM).
Hasil keputusan analisis keseluruhan mendapati 65.6% pelajar memperolehi skor tertinggi yang juga merupakan pilihan pertama pelajar. Keselarasan Ini amat Penting kerana apabila bidang yang dipilih sesuai dengan personaliti dan minat, pelajar lebih bersemangat untuk belajar dan menyelesaikan cabaran. Selain itu, pemilihan bidang berdasarkan keserasian memastikan pelajar kekal berminat dan cemerlang sepanjang perjalanan akademik dan kerjaya mereka nanti. Di samping itu juga, pelajar lebih cepat menguasai kemahiran yang berkaitan apabila mereka berminat dalam subjek tersebut, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran selepas tamat pengajian.
Diharapkan program ini dapat membantu para pelajar untuk membuat perancangan dan membina kerjaya yang tepat serta membantu untuk mengurangkan tekanan kerana mereka dapat menyesuaikan diri dengan lebih mudah kepada keperluan pembelajaran dan suasana akademik.
Rakaman jutaan terima kasih diberikan kepada Dr. Jen-Sern Tham, Penyelaras Program di peringkat fakulti yang juga merupakan Pensyarah Kanan di FBMK atas jalinan kerjasama yang erat dan membantu dalam melancarkan perjalanan program. Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Tarikh Input: 28/12/2024 | Kemaskini: 28/12/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia