Langkah Proaktif BKUPM: Taklimat DASS-21 Persiap Fasilitator Kampus | BAHAGIAN KAUNSELING UPM bkupm
» BERITA » Langkah Proaktif BKUPM: Taklimat DASS-21 Persiap Fasilitator Kampus

Langkah Proaktif BKUPM: Taklimat DASS-21 Persiap Fasilitator Kampus

Oleh : Puan Noorihayatti binti Noorudin K.B.;P.A.

SERDANG, 26 September - Bagi menyokong kesejahteraan mental pelajar baharu, Unit Pengukuran Psikologi dan Kesejahteraan Mental, Seksyen Kesihatan Mental, Bahagian Kaunseling UPM (BKUPM) telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Taklimat Saringan Minda Sihat (DASS-21) kepada Fasilitator Putra, UPM. Taklimat ini diadakan di Dewan Putra 2, UPM dan disertai oleh seramai 350 orang fasilitator yang dilantik untuk membantu proses pelaksanaan saringan tersebut di kolej kediaman.

Taklimat ini bertujuan untuk memberi kefahaman yang jelas kepada Fasilitator Putra dalam mengisi instrumen Depression Anxiety Stress Scale (DASS-21) dan peranan mereka membantu pelaksanaan saringan kepada pelajar baharu yang akan mendaftar di UPM pada 4 dan 5 Oktober 2025 nanti. Peserta juga didedahkan dengan cara mengendalikan situasi yang memerlukan rujukan lanjut kepada kaunselor sekiranya menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental.

Menurut Puan Noorihayatti Noorudin (Penyelaras Program) pelaksanaan saringan ini adalah sebahagian daripada usaha BKUPM untuk mengenal pasti tahap kesejahteraan mental pelajar baharu serta menyediakan intervensi awal kepada mereka yang memerlukan sokongan. Penawaran perkhidmatan sesi bimbingan atau kaunseling akan diberikan kepada pelajar yang memerlukan.

“Kami berharap fasilitator dapat memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar baharu berasa selamat, yakin dan terbuka untuk menjalani saringan ini. Ini adalah langkah awal dalam membina komuniti kampus yang lebih sihat dari segi mental dan emosi” katanya.

Program ini menzahirkan komitmen universiti dalam memelihara kesejahteraan warga kampus dan memperkukuh peranan fasilitator sebagai rakan sokongan psikososial kepada pelajar baharu.

 

Tarikh Input: 27/09/2025 | Kemaskini: 27/09/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
X, (09:30:47pm-09:35:47pm, 29 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]