Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.
SERDANG, 24 Februari – Seksyen Kaunseling Kerjaya, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah berjaya menganjurkan Majlis Ihya’ Ramadhan Peringkat Bahagian Kaunseling UPM pada 13 Februari 2026 (Jumaat) bersamaan 25 Syaaban 1447H bertempat di Auditorium BKUPM. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini disertai oleh 12 orang staf Bahagian Kaunseling sebagai satu inisiatif persediaan rohani dan mental menjelang ketibaan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.
Majlis dimulakan dengan ketibaan ahli kelab dan diteruskan dengan ucapan aluan oleh wakil penganjur sebelum sesi Bacaan Yasin dan doa selamat diadakan bagi memohon keberkatan serta kelancaran sepanjang program. Suasana majlis yang sederhana namun penuh makna itu turut diserikan dengan perkongsian Sinar Ramadhan melalui READ@UNI yang menampilkan sesi bedah buku bertajuk “Kembara Mahsyar”. Perkongsian ini memberi peluang kepada para peserta untuk menghayati peringatan dan refleksi tentang kehidupan, kematian serta persediaan menghadapi hari akhirat.
Turut dijemput sebagai penceramah ialah En. Muhammad Zaim Rosli yang menyampaikan pengisian berbentuk ceramah interaktif dan sesi soal jawab. Perkongsian beliau memfokuskan kepada amalan-amalan sunnah, tadabbur al-Quran serta penghayatan hikmah berpuasa dalam membentuk jiwa yang lebih sabar dan ikhlas. Pendekatan santai tetapi menyentuh hati menjadikan sesi tersebut lebih dekat dengan realiti tugasan harian warga kerja universiti.
Selain pengisian ilmu, majlis ini turut menjadi platform mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan staf melalui sesi makan pagi bersama, penyampaian cenderamata dan sesi bergambar. Secara keseluruhannya, penganjuran Majlis Ihya’ Ramadhan ini membuktikan komitmen Bahagian Kaunseling UPM dalam memastikan kesejahteraan staf dipelihara secara menyeluruh, merangkumi aspek profesionalisme, keseimbangan emosi dan kemantapan spiritual agar setiap amanah dapat dilaksanakan dengan lebih tenang dan berintegriti sepanjang bulan Ramadhan.



Tarikh Input: 24/02/2026 | Kemaskini: 24/02/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia