Memperkasa Kaunseling IPT: Jalinan Pintar Antara UPM Dan USM | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » Memperkasa Kaunseling IPT: Jalinan Pintar antara UPM dan USM

Memperkasa Kaunseling IPT: Jalinan Pintar antara UPM dan USM

Oleh : Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari

SERDANG, 25 Mei - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah menerima satu lawatan strategik penanda aras daripada Unit Kaunseling, Universiti Sains Malaysia (USM) pada hari Selasa, 20 Mei 2025. Lawatan ini melibatkan enam (6) orang pegawai dari Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM dan berlangsung di Bilik Mesyuarat BKUPM dari jam 2.00 petang hingga 4.30 petang.

 
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menjalin kerjasama strategik dan memperkukuh amalan terbaik dalam perkhidmatan kaunseling antara dua universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia. Selain itu, ia turut membuka ruang untuk pertukaran pengetahuan serta idea dalam usaha menambah baik sistem sokongan psikososial di institusi pengajian tinggi.

Lawatan dimulakan dengan ketibaan delegasi USM pada jam 2.00 petang, disambut mesra oleh pegawai Bahagian Kaunseling UPM. Seterusnya, majlis diteruskan dengan kata-kata aluan serta sesi pembentangan berkaitan struktur organisasi, fungsi, peranan dan prosedur perkhidmatan kaunseling di UPM. Perbincangan ini turut mengetengahkan pendekatan profesional yang dilaksanakan dalam menangani isu-isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Sesi soal jawab bersama Pegawai Psikologi memberi peluang kepada para pelawat untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang amalan harian dan cabaran semasa yang dihadapi oleh Bahagian Kaunseling UPM. Delegasi USM turut dibawa melawat ke ruang kerja dan kawasan perkhidmatan kaunseling, di samping menerima taklimat dan maklum balas berkaitan pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang diamalkan. 

 
Program diakhiri dengan sesi bergambar di ruang foyer Bahagian Kaunseling sebelum para peserta bersurai pada jam 4.30 petang. Lawatan ini telah membuka peluang ke arah kerjasama berterusan dalam usaha memperkukuh peranan kaunseling sebagai tunjang kesejahteraan warga kampus.

Menurut Dr. Mazila, Ketua Bahagian Kaunseling UPM, lawatan ini bukan sekadar pertukaran maklumat, tetapi satu pertemuan bermakna yang mengeratkan ukhuwah profesional antara dua institusi yang sama-sama komited dalam memperkasa kesejahteraan psikologi warga kampus.

“Kami amat menghargai kesudian Unit Kaunseling, BHEPA, USM hadir ke UPM dan berkongsi pengalaman serta perspektif yang sangat bermakna. Semoga jalinan ini menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih erat, melangkaui sekadar lawatan - ke arah pembangunan modal insan yang lebih holistik dan mampan dalam kalangan pelajar,” ujar beliau penuh harapan.

Pihak BKUPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kunjungan ini dan berharap hubungan strategik yang terjalin akan terus diperkukuh demi manfaat bersama dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar.

Tarikh Input: 25/05/2025 | Kemaskini: 25/05/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
X, (04:51:46am-04:56:46am, 18 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]