MERIAH SUASANA MAJLIS MEGA RAYA AIDILFITRI 2024 DI BKUPM | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » MERIAH SUASANA MAJLIS MEGA RAYA AIDILFITRI 2024 DI BKUPM

MERIAH SUASANA MAJLIS MEGA RAYA AIDILFITRI 2024 DI BKUPM

SERDANG, 29 April - Majlis Mega Raya Aidilfitri 2024 yang disambut meriah telah diadakan oleh semua Pusat Tanggungjawab di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengeratkan silaturahim sesama warga UPM di samping menjamu selera juadah yang disediakan bersama aktiviti menarik diselitkan bagi mewarnai hari yang gembira ini. Bahagian Kaunseling UPM (BKUPM) turut terlibat dalam menganjurkan sambutan Majlis Mega Raya Aidilfitri 2024 di Auditorium, BKUPM pada 23 April 2024 hari Selasa, bermula jam 10.00 pagi sehingga 4.00 petang dimana pihak lelaki berpakaian baju melayu dan wanita berbaju kurung.

Tentatif majlis bermula dengan ketibaan tetamu, bacaan doa majlis dipimpin oleh Presiden Kelab Kebajikan dan Rekreasi BKUPM, Encik Mohamad Shafiq Mahadi, seterusnya ucapan aluan daripada Presiden KKR BKUPM dan aluan Ketua Bahagian BKUPM, bersesi gambar kenangan raya di pentas Auditorium BKUPM dan sesi menjamu selera dengan menikmati hidangan disediakan oleh pegawai dan staf BKUPM. Menu utama majlis adalah mee kari dan antara menu potluck yang menarik dilihat seperti sate ayam dan daging, ketupat, kuah kacang, lemang pulut, air lemon, nasi goreng, nasi minyak dan pelbagai kuih-muih, dessert table disediakan untuk menambat selera tetamu yang hadir.

Juga tidak ketinggalan, majlis diteruskan dengan permainan 'GAME RAYA' bagi menceriakan dan memupuk nilai murni bersedekah di samping membina kenangan manis semasa meluangkan masa bersama tetamu dan warga BKUPM. Permainan pertama adalah 'wrapping roll' duit raya. Cara bermain adalah pemain seikhlas hati memberi sampul duit raya, dan disusunkan sebaris ke atas pentas dan digolekkan 'wrapping roll', apabila berhenti ke sampul, pemain akan mengambil dan menunjukkan kepada 'video creator'. Permainan kedua adalah teka menu raya, pemain perlu meneka menu raya menggunakan simbol 'emoticon' di telefon, jika betul akan dapat merasai hidangan kuih raya/menu pencuci mulut manakala sebaliknya terima solekan bedak di pipi. Permainan akhir, karoake sambung lagu raya, hos akan memberhentikan lagu dan pemain perlu meneka lagu sambungan, jika betul, sama seperti permainan kedua akan menerima pencuci mulut dan sebaliknya terima solekan bedak di pipi.

Banyak manfaat mengadakan majlis ini, antaranya mengadakan majlis ini menggalakkan solidariti di kalangan kakitangan dalam menjalankan sambutan kemenangan raya ibadah berpuasa bersama-sama. Ini memperkuatkan ikatan dan kesetiaan di kalangan mereka.‍ Ini juga menunjukkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam organisasi. Ini membina persefahaman yang baik antara kakitangan dari latar belakang yang berbeza.‍ Membina keharmonian dan persefahaman yang lebih baik di kalangan kakitangan. Selain daripada itu, memberikan ruang untuk pelepasan emosi dan ketegangan di tempat kerja. Ini membantu meningkatkan kesejahteraan emosi kakitangan.

Harapan kami KKR bersama warga BKUPM dapat berjumpa dan mengekalkan majlis raya yang berkat dan meriah ini pada setiap tahun.

 

 

 

Tarikh Input: 30/04/2024 | Kemaskini: 30/04/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXFVQAV~