PROGRAM ‘HEALING SAMPAI JADI’ PERKASA KESEJAHTERAAN MENTAL WARGA UPM | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » PROGRAM ‘HEALING SAMPAI JADI’ PERKASA KESEJAHTERAAN MENTAL WARGA UPM

PROGRAM ‘HEALING SAMPAI JADI’ PERKASA KESEJAHTERAAN MENTAL WARGA UPM

Oleh : Puan Noorihayatti binti Noorudin K.B.;P.A.

SERDANG, 30 April - Unit Pengukuran Psikologi dan Kesejahteraan Mental, Seksyen Kesihatan Mental Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Program Motivasi Putra Siri 1/2026 bertajuk “Healing Sampai Jadi: Strategi Mengurus Tekanan dan Keresahan” bertarikh 28 April 2026. Program yang berlangsung selama dua hari secara dalam talian ini merupakan satu inisiatif proaktif dalam meningkatkan kesedaran serta membantu peserta mendepani cabaran kesihatan mental yang semakin kompleks dalam kalangan warga universiti dan masyarakat umum.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan meluas merentasi pelbagai kategori peserta, melibatkan warga kampus UPM serta komuniti luar. Rekod kehadiran menunjukkan seramai 1,611 peserta telah mengikuti program tersebut.

Pada siri kali ini, program menampilkan YBhg. Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah (Prof. Mas Positif) sebagai penceramah utama. Beliau telah memberikan perkongsian yang memberi impak besar melalui pendekatan yang menarik, praktikal dan mudah diaplikasikan menerusi teknik STRL iaitu Sedari Diri, Terima tekanan yang dialami, Rasai, dan Lepaskan.

Kerjasama strategik antara pelbagai pihak membuktikan bahawa impak yang besar dapat dicapai melalui sinergi yang kukuh. Penglibatan Pejabat Pendaftar UPM serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut membantu memastikan penyampaian maklumat dan capaian peserta berada pada tahap optimum.

Menurut pegawai penyelaras program, Puan Noorihayatti Noorudin, program seumpama ini akan diadakan lebih banyak siri advokasi kesihatan mental pada masa hadapan, selaras dengan matlamat universiti untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek intelektual, malah memiliki daya tahan mental yang tinggi.

Berikut merupakan antara maklum balas positif daripada para peserta:

“Program ini menarik kerana memberikan pendekatan praktikal dalam mengurus tekanan dan keresahan serta mudah diamalkan dalam kehidupan harian.”

“Program ini mengingatkan saya untuk lebih menikmati kehidupan dan membesarkan rasa kesyukuran.”

“Penceramah menyampaikan pengisian dengan jelas, menarik dan menghiburkan.”

“Saya belajar cara untuk ‘healing’ diri daripada perasaan negatif dengan lebih sihat.”

“Program ini menekankan proses pemulihan yang realistik dan tidak hanya berfokus kepada hasil yang cepat.”

Tarikh Input: 30/04/2026 | Kemaskini: 30/04/2026 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (12:41:09am-12:46:09am, 09 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]