Oleh : Puan Izwana binti Ismail K.B.;P.A.
SERDANG, 29 November - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah dijemput untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Program Kursus Fasilitator Universiti Sempena kemasukan pelajar baharu sesi 2024/2025 untuk Program Putra Cakna Kesihatan Mental 2024 Siri 4. Slot ini dilaksanakan pada 1 Oktober 2024 pada jam 8.30 pagi di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan slot ini merupakan salah satu pengisian penting yang mana pelajar perlu menjawab saringan kesihatan mental bagi mengetahui tahap kesihatan mental mereka dan dalam masa yang sama kaunselor berkongsi tentang pentingnya menjaga kesihatan mental.
Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelajar tentang pentingnya memelihara kesihatan mental dengan baik dan mendapatkan rawatan awal bagi yang berkaitan. Pelajar akan menjawab DASS 21 untuk mengetahui tahap kesihatan mental mereka.
Program ini melibatkan 304 orang peserta dan diadakan secara fizikal. Program ini berjaya mencapai objektif iaitu membantu menilai tahap kesihatan mental para pelajar yang dipilih untuk menjadi Fasilitator Putra, Universiti Putra Malaysia dengan menjawab DASS 21 . Selain daripada kesihatan mental sebagai fokus utama program, pelajar juga perlu bersedia dari segi kesihatan diri dan fizikal untuk membantu pihak universiti bagi melancarkan perjalanan Minggu Perkasa Putra Sesi 2024/2025 yang mana Fasilitator Putra akan bertugas sepanjang minggu orientasi pelajar baharu.
Sebagai Fasilitator Universiti, ketahanan dari segi fizikal, mental dan emosi sangat penting kerana mereka merupakan kumpulan pertama yang akan berjumpa dengan pelajar baharu semasa minggu pendaftaran dan sepanjang minggu orientasi pelajar baharu.
Melalui program ini diharapkan para pelajar yang terpilih sebagai Fasilitator Putra bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi untuk berkhidmat dan berbakti kepada pihak universiti bagi memastikan Minggu Perkasa Putra Sesi 2024/2025 berjalan lancar.

Tarikh Input: 29/11/2024 | Kemaskini: 30/11/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia