Oleh : Puan Izwana binti Ismail K.B.;P.A.
SERDANG, 30 November – Seksyen Kesihatan Mental, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah dijemput untuk bekerjasama dengan MPK Kolej Sepuluh untuk Program Kesedaran Kesihatan Mental 2024. Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, sebuah program kesedaran telah dianjurkan oleh Pihak Pengurusan Kolej Sepuluh pada 4 Oktober 2024. Program ini disertai oleh 40 orang yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sepuluh yang dijalankan pada jam 9.00 pagi di Kolej Kediaman Kolej Sepuluh.
Program yang bertemakan "Jaga Minda, Jaga Diri" ini bertujuan untuk memberikan maklumat tentang isu-isu kesihatan mental, cara mengenali tanda-tanda masalah mental, serta strategi untuk mengatasi tekanan. Aktiviti yang diadakan adalah ceramah kesedaran Kesihatan mental yang disampaikan oleh Encik Mohd Redzuan Zamberi, Pegawai Psikologi dari Bahagian Kaunseling UPM dan pelajar telah diminta untuk menjawab DASS 21 untuk mengetahui tahap Kesihatan mental mereka. Pegawai Psikologi akan membantu pelajar melalui analisis DASS 21 yang telah dijawab oleh pelajar. Dengan cara ini akan memberi kesedaran kepada pelajar untuk sentiasa menjaga kesihatan mental mereka sepertimana mereka menjaga kesihatan fizikal.

Encik Mohd Redzuan menekankan pentingnya menghapus stigma terhadap masalah kesihatan mental dan menggalakkan pelajar untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan. "Kita perlu memahami bahawa kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Mengakui masalah adalah langkah pertama ke arah pemulihan," ujarnya. Melalui program ini diharapkan para pelajar yang terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar akan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan dalam masa yang sama tetap fokus kepada tanggungjawab sebagai pelajar dan berjaya melaksanakan apa yang telah diamanahkan kepada mereka.
Tarikh Input: 30/11/2024 | Kemaskini: 30/11/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia