Oleh : Puan Kemelia binti Omar K.B.;P.A.
SERDANG, 24 September - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah menganjurkan Program Motivasi Muda pada 11 September 2025 yang menghimpunkan seramai 40 orang murid atlit dan 3 guru pengiring dari Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2, Kluang, Johor, bertempat di Auditorium, Bahagian Kaunseling UPM.
Program Motivasi Muda merupakan satu inisiatif khidmat komuniti yang dianjurkan oleh BKUPM yang bertujuan untuk memberi suntikan motivasi dan membina keyakinan diri dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya murid atlit yang mempunyai potensi besar dalam bidang sukan dan akademik.

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan motivasi dan keyakinan diri murid atlit, membantu peserta mengenal potensi serta menetapkan hala tuju masa depan, mewujudkan jalinan kerjasama pendidikan antara universiti dan sekolah rendah dan menyediakan platform awal kepada murid untuk mengenal dunia pendidikan tinggi.
Seramai 40 orang murid atlit dari SK Tunku Mahmood 2, Kluang telah mengambil bahagian dalam program ini, bersama 3 orang guru pengiring, diketuai oleh Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sekolah tersebut, En. Mohd Lutfi Azmir bin Tan Nazis. Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh empat orang kaunselor dari BKUPM yang berpengalaman dalam pengendalian program pembangunan sahsiah dan motivasi pelajar.
Program ini memberikan kesan positif kepada para peserta, di mana ramai dalam kalangan murid menunjukkan peningkatan keyakinan dan keberanian untuk berkongsi impian masing-masing. Guru pengiring turut memaklumkan bahawa murid-murid mereka lebih bersemangat dan berdaya saing selepas mengikuti program ini.
“Kami percaya bahawa setiap anak mempunyai potensi besar. Program ini adalah usaha untuk membangkitkan keyakinan mereka dan menunjukkan bahawa mereka mampu berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Yang penting, mereka percaya kepada diri sendiri.” - Puan Kemelia binti Omar, Pegawai Psikologi, Seksyen Kesihatan Mental, BKUPM.
Melalui penganjuran program seperti ini, UPM terus komited memperkasa peranan universiti dalam komuniti dengan menyumbang kepada pembangunan jati diri pelajar sekolah melalui ilmu, pengalaman dan bimbingan yang berkesan.

Tarikh Input: 27/09/2025 | Kemaskini: 27/09/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia