Oleh : Puan Izwana binti Ismail K.B.;P.A.
SERDANG, 30 Oktober - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah dijemput untuk bekerjasama dengan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) untuk Program Putra Cakna Kesihatan Mental 2024 pada 25 September 2024 yang bertempat di Dewan Putra 2, Kolej Serumpun UPM. Slot ini merupakan salah satu pengisian penting yang mana kaunselor berkongsi tentang pentingnya menjaga kesihatan mental dan dalam masa yang sama pekerja FBMK perlu menjawab saringan kesihatan mental bagi mengetahui tahap kesihatan mental mereka. Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pekerja tentang pentingnya memelihara kesihatan mental dengan baik dan mendapatkan rawatan awal bagi yang berkaitan. Pekerja akan menjawab DASS 21 untuk mengetahui tahap kesihatan mental mereka. Ini bertepatan dengan saranan supaya setiap pekerja perlu memastikan tahap kesihatan mental mereka berada dalam keadaan baik. Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial anda. Ia mempengaruhi bagaimana anda berfikir, merasa dan bertindak. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental adalah “keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari keupayaannya sendiri, dapat mengatasi tekanan normal kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat serta mampu memberi sumbangan kepada komuniti”.
Program ini melibatkan 65 orang peserta dan diadakan secara fizikal. Program ini berjaya mencapai objektif iaitu membantu menilai tahap kesihatan mental yang merupakan aspek penting dalam kehidupan. Inisiatif yang diambil oleh FBMK merupakan Langkah yang terbaik untuk tingkatkan kesedaran terhadap masalah kesihatan mental dan dapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai penyakit mental agar mereka lebih bersedia jika berhadapan dengan situasi berkaitan. Seperti penyakit fizikal yang lain, tidak ada apa yang harus dimalukan. Pastikan kita sedar akan kepentingan kesihatan mental agar dapat menjalani kehidupan seharian dalam suasana yang harmoni dan sejahtera. Melalui program ini diharapkan pekerja FBMK mendapat ilmu yang bermanfaat dan kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan mental.

Tarikh Input: 30/10/2024 | Kemaskini: 30/10/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia