Program Putra Sihat Siri 1.0: 10,000 Langkah UPM Semarak Kesejahteraan Warga Kampus | BAHAGIAN KAUNSELING UPM bkupm
» BERITA » Program Putra Sihat Siri 1.0: 10,000 Langkah UPM Semarak Kesejahteraan Warga Kampus

Program Putra Sihat Siri 1.0: 10,000 Langkah UPM Semarak Kesejahteraan Warga Kampus

Oleh: Puan Ayna Marliana Mohamad Sari

SERDANG, 24 Februari – Program Putra Sihat Siri 1.0: 10,000 Langkah UPM yang telah berlangsung pada 10 Februari 2026 (Selasa) terus menyemarakkan budaya hidup sihat dalam kalangan warga Universiti Putra Malaysia (UPM). Program yang diadakan bermula jam 3.15 petang hingga 5.00 petang di Padang Kawad UPM ini terbuka kepada semua warga universiti dan menerima sambutan yang amat memberangsangkan.

Seramai 1,040 peserta telah mendaftar untuk menyertai program ini, mencerminkan komitmen dan minat tinggi warga kampus terhadap inisiatif kesihatan yang dianjurkan. Program ini bukan sahaja menggalakkan peserta mencapai 10,000 langkah melalui laluan yang ditetapkan di sekitar kampus, malah turut menyelitkan elemen kesejahteraan diri di setiap checkpoint yang disediakan.

Laluan program merangkumi beberapa lokasi utama termasuk Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains Komputer (PKU), Bahagian Kaunseling serta kembali semula ke Padang Kawad sebagai garisan penamat. Setiap checkpoint menawarkan pengisian tersendiri yang memberi nilai tambah kepada peserta.

Bahagian Kaunseling UPM yang mengendalikan Checkpoint 3 mengetengahkan tema Kesejahteraan Diri Warga Kampus melalui sebuah booth interaktif yang mendapat perhatian ramai. Di tempat letak kenderaan, berhadapan bangunan Bahagian Kaunseling UPM, peserta menerima kad kata-kata positif sebagai suntikan motivasi dan seterusnya menampal sticker dot pada papan khas bagi memilih nilai positif yang paling dekat dengan diri dan prinsip kerja masing-masing. Antara nilai yang diketengahkan ialah komited dan kuat berusaha, fokus pada sasaran, kerjasama, disiplin menepati masa, semangat maju dan berkembang, cemerlang serta memberi kualiti terbaik. Sebagai alternatif tambahan, BKUPM turut menyediakan air minuman untuk peserta agar dapat mengekalkan stamina mereka.

Pendekatan santai namun bermakna ini memberi ruang kepada peserta untuk membuat refleksi kendiri terhadap nilai yang ingin dibudayakan dalam persekitaran kerja dan kehidupan seharian. Secara keseluruhannya, Program Putra Sihat Siri 1.0 bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi satu platform menyeluruh yang menggabungkan kecergasan, kesejahteraan emosi dan pengukuhan nilai positif dalam kalangan warga UPM.

  

 

 

 

Tarikh Input: 24/02/2026 | Kemaskini: 24/02/2026 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
X, (02:09:45pm-02:14:45pm, 24 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]