Program TOT Gamifikasi Kerjaya | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » Program TOT Gamifikasi Kerjaya

Program TOT Gamifikasi Kerjaya

Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.

SERDANG, 1 Oktober - Seramai 20 orang pelajar telah terlibat dalam program Training of Trainers (TOT) Gamifikasi Kerjaya yang diadakan di Bilik Mesyuarat Bahagian Kaunseling, UPM. Program ini merupakan program latihan sebagai fasilitator yang akan mengendalikan modul-modul bersasar bagi Program Gamifikasi Kerjaya sempena Sembang Kaunselor Kerjaya Siri 2 yang dijadualkan berlangsung pada 8 November 2025 (Sabtu) bertempat di Dewan Putra 1, Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM.

 

TOT ini memberi fokus kepada usaha memantapkan pengetahuan dan kemahiran para fasilitator khususnya dalam mengendalikan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Selain itu, para peserta turut diberi peluang merasai pengalaman sebagai peserta agar mereka lebih memahami perjalanan aktiviti serta mampu mengadaptasi teknik fasilitasi dengan lebih berkesan.

Sebanyak empat modul kerjaya utama telah diperkenalkan dalam sesi ini, merangkumi aspek kemahiran komunikasi, penerapan nilai kerjaya, strategi gamifikasi dalam pengendalian aktiviti, serta pengurusan kumpulan dinamik. Salah satu modul Gamifikasi Kerjaya yang diperkenalkan adalah ‘Papan Permainan Kesdiaan Kerjaya’ yang telah dibangunkan bermula Februari yang lalu. Modul ini akan dilaksanakan sebagai ‘pilot test’ bagi melihat impak dan keberkesanan pendekatan yang digunakan. Di samping itu, satu sesi perkongsian khas oleh kaunselor kerjaya turut diadakan untuk memberi pencerahan mendalam mengenai realiti dunia pekerjaan serta cabaran yang bakal dihadapi oleh graduan.

Menurut Puan Anis Akmilah, selaku penyelaras program, penglibatan sukarela oleh fasilitator pelajar ini membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi mereka dalam menyumbang kepada pembangunan rakan sebaya. “Usaha ini jelas menunjukkan bahawa barisan fasilitator bukan sahaja bersedia memimpin, tetapi juga bersemangat untuk menjadi agen sokongan dalam membantu mahasiswa lain membina hala tuju kerjaya,” katanya.
Dengan penganjuran TOT ini, para fasilitator diyakini mampu memainkan peranan penting dalam menjayakan Program Gamifikasi Kerjaya yang bakal menghimpunkan lebih ramai peserta pada November nanti. Program ini sekali gus menzahirkan komitmen UPM dalam memperkukuh kesejahteraan kerjaya dan memperkasakan mahasiswa sebagai modal insan berkualiti.

 

Tarikh Input: 30/10/2025 | Kemaskini: 30/10/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (11:46:00am-11:51:00am, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]