Projek Bebas COVID-19; PUTRA FM Bersama Kaunselor BKUPM | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » Projek Bebas COVID-19; PUTRA FM Bersama Kaunselor BKUPM

Projek Bebas COVID-19; PUTRA FM Bersama Kaunselor BKUPM

SERDANG – Banyak negara yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Tidak terkecuali Malaysia juga antara salah satu negara yang terkesan, dan pastinya memberikan impak yang sangat besar kepada seluruh rakyat tidak kira dari aspek ekonomi, fizikal, sosial dan mental.

Peranan petugas hadapan sangat besar. Mereka berusaha bertungkus lumus dalam mengekang penularan pandemik ini. Walau bagai manapun, tidak dinafikan, petugas bukan hadapan juga, termasuklah kaunselor juga amat diperlukan. Kaunselor berperanan dalam membantu mengurangkan tekanan dan mengimbangi emosi rakyat susulan situasi getir ini.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang telah diumumkan oleh kerajaan, rakyat perlu mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan. Rakyat diminta agar bertenang dalam menghadapi situasi ini dengan baik. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula norma baharu diperkenalkan, dan kita perlu mengadaptasi diri samada secara fizikal, bahkan mental dengan kebiasaan baharu agar dapat mengekang penularan penyakit berbahaya ini. Sudah semestinyalah antara yang terkesan adalah emosi individu yang berkait dengan cara pengurusan kesihatan mental masing-masing.

Oleh itu Bahagian Kaunseling mengambil peluang dan inisiatif dengan mengadakan pelbagai program sokongan psikologi dan motivasi secara dalam talian.

Antara program secara maya yang telah dijalankan oleh BKUPM ialah ‘Projek Bebas Covid-19 Putra FM Bersama Kaunselor BKUPM’ yang mana telah dijalankan sebanyak 7 siri bermula dari April hingga Mei 2020.

Topik pertama ialah, ‘5 Rules Of Happiness In Our Life’ oleh Dr. Mazila Ghazali, topik kedua ‘Kekal Harmoni Dalam Komunikasi Melalui Teknik B.E.S.T’ oleh Puan Noorihayatti Noorudin, topik ketiga pula ialah  ‘Tiga Ciri Sahabat Yang Perlu Dikekalkan dan Dihindarkan’ oleh Encik Mohd Redzuan Zamberi. Topik berikutnya ialah ‘Bersederhana Dari Aspek Psikologi’ oleh Puan Anis Akmilah Mat Hassan, seterusnya ‘Mengurus Emosi’ oleh Puan Izwana Ismail, ‘Hikmah Di Sebalik Musibah’ Oleh Puan Wan Azurani Wan Ahmad, manakala topik terakhir ialah ‘Tiga Tip Kekal Sihat dan Aktif’ oleh Puan Kemelia Omar. 

Sehingga berita ini di tulis, program ini telah berjaya meraih sebanyak 6148 tontonan.

Program ini dianjurkan bagi memberi suntikan motivasi dan panduan kepada para penonton, warga UPM khususnya agar dapat meningkatkan motivasi, meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran agar sentiasa bersemangat dan proaktif walaupun berdepan pelbagai kekangan susulan dari keadaan semasa yang berlaku ini.

Selain itu, program ini diadakan bertujuan agar membantu penonton supaya sentiasa rasa tenang dan bersyukur dalam menghadapi setiap apa jua situasi keadaan. Para pelajar mungkin dalam keadaan sukar ini, mengalami kebimbangan atau kegusaran terhadap perjalanan pengajian mereka, pekerja pula mungkin terkesan dengan tanggungjawab kerja yang mungkin terganggu kerana tidak dapat bekerja di pejabat. Mungkin juga ada yang agak kekok dan gusar ketikamana perlu bekerja dari rumah dan mengimbangi rutin harian baharu. Melalui perkongsian pendek ini, diharap sedikit sebanyak dapat membantu.

Kaedah pelaksanaan program adalah berkonsepkan perkongsian video motivasi pendek secara atas talian menerusi laman facebook rasmi Putra FM dan juga facebook rasmi BKUPM.

Semoga melalui cara ini, sedikit sebanyak membantu warga UPM dalam mengimbangi emosi, memberikan kemahiran ‘coping’ atau dayatindak terhadap situasi yang tidak dapat diramal seterusnya menambah kualiti diri dan peribadi.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang menonton, dan bersama kita berjaya BEBAS DARI COVID-19.

 

Tarikh Input: 30/06/2020 | Kemaskini: 11/08/2020 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXFBBAx~