Projek Komuniti Tunas Bakti Ilmu | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » Projek Komuniti Tunas Bakti Ilmu

Projek Komuniti Tunas Bakti Ilmu

Oleh: Puan Kamariah binti Derasol

SERDANG, 29 Jun - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasakan pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan Projek Komuniti Tunas Bakti Ilmu, sebuah program kolaboratif bersama Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia. Projek yang berlangsung bagi tempoh 14 Jun hingga 30 Ogos 2026 ini memulakan siri pelaksanaannya pada 14 Jun 2026, dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, di Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Program ini telah melibatkan seramai 37 peserta yang terdiri daripada pelajar serta komuniti setempat. Inisiatif ini dilaksanakan sebagai platform pemindahan ilmu dan pembangunan sahsiah melalui pendekatan komuniti yang menumpukan kepada pembangunan potensi diri, motivasi serta budaya membaca dalam kalangan penghuni Sekolah Tunas Bakti. Program ini turut memberi peluang kepada kaunselor pelatih untuk memperoleh pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti bersama peserta.

Sepanjang pelaksanaan program, peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti yang memberi penekanan kepada penerokaan potensi diri, pembangunan kerjaya serta peningkatan motivasi dan keyakinan diri sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas meninggalkan institusi. Di samping itu, budaya membaca turut dipupuk melalui sumbangan bahan bacaan hasil kerjasama pelbagai pihak, sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk menambah ilmu pengetahuan serta membina minat membaca sebagai amalan sepanjang hayat.

Program ini juga menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan strategik antara Universiti Putra Malaysia dengan komuniti melalui pelaksanaan aktiviti khidmat masyarakat yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kerjasama erat bersama Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad membuktikan komitmen bersama dalam memperkasakan pendidikan, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan komuniti melalui perkongsian kepakaran serta sumber yang dimiliki.

Selain memberi impak positif kepada penghuni Sekolah Tunas Bakti, projek ini turut menyumbang kepada penjanaan sumber secara in-kind melalui sumbangan buku daripada pihak penerbit dan individu perseorangan. Inisiatif ini bukan sahaja memperkayakan koleksi bahan bacaan di institusi tersebut, malah menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi yang lebih berilmu, berkeyakinan dan bersedia untuk kembali berfungsi secara positif dalam masyarakat.

Secara keseluruhannya, Projek Komuniti Tunas Bakti Ilmu berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan meningkatkan motivasi, keyakinan diri dan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dalam kalangan peserta. BKUPM berharap kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai komuniti serta menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan masyarakat yang berdaya tahan, berpengetahuan dan berakhlak mulia.

 

Tarikh Input: 29/06/2026 | Kemaskini: 30/06/2026 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
X, (01:13:43pm-01:18:43pm, 05 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]