Oleh : Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari
SERDANG, 30 April - Majlis Sambutan Mega Raya Aidilfitri 2025 UPM anjuran Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KKR) BKUPM yang berlangsung pada 24 April 2025 (Khamis) dalam suasana meriah, penuh gelak tawa dan semangat kekeluargaan. Majlis yang diadakan di Auditorium BKUPM itu menjadi medan warga BKUPM berkumpul, mengeratkan silaturahim dan berkongsi kemeriahan Syawal selepas sebulan berpuasa.

Seawal jam 10.00 pagi, para hadirin mula tiba dengan pakaian baju raya pelbagai warna dan gaya, memeriahkan suasana persekitaran. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Encik Shafiq selaku Pengerusi KKR, diikuti ucapan raya oleh Dr. Mazila, Ketua Bahagian BKUPM yang menyentuh kepentingan ukhuwah, kebersamaan dan rasa syukur atas nikmat pertemuan yang dikurniakan.
Satu kelainan menarik pada majlis kali ini ialah konsep hidangan ‘potluck’ dengan nama menu yang menarik. Warga BKUPM membawa pelbagai hidangan sendiri termasuk sebalang kuih raya, Antara menu menarik dihidangkan seperti kuih koci meriam, kole le’ kacang, sup kambing gengam jiwa padu, spaghetti bolo-licious raya edition, air soda liku bayu pudina dan pelbagai lagi. Menu utama yang disediakan oleh pihak penganjur iaitu mee kari, Majlis ini telah mendapat sambutan luar biasa daripada para hadirin termasuk daripada kalangan staf dan pelajar. Kehadiran makanan tradisional ini menambah rasa nostalgia dan kemeriahan, sekaligus menjadikan suasana lebih mesra dan bersahaja.

Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar kenangan, sebelum para tetamu dijemput menikmati juadah. Kemeriahan diteruskan dengan pelbagai permainan dan aktiviti berunsurkan tema raya seperti ‘Tarik Tali Duit Raya - Warga BKUPM turut “Bawa sekali, seikhlas hati – Duit Raya” - yang mencerminkan semangat memberi dan berkongsi rezeki sesama warga kerja.’, ‘Teka Emoji/Kuih Raya’ dan ‘Karaoke Raya Berkumpulan’. Gelak tawa, sorakan dan nyanyian lagu raya oleh warga BKUPM mewarnai sepanjang program, menjadikan hari tersebut cukup istimewa buat semua yang hadir.
Majlis berakhir sekitar jam 4.00 petang dengan suasana penuh kepuasan dan kegembiraan. Majlis Jamuan Aidilfitri BKUPM 2025 ini bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi platform penting yang menyemai nilai-nilai murni seperti perpaduan, kerjasama dan saling menghormati dalam kalangan warga kerja. Ia membuktikan bahawa sambutan Aidilfitri bukan hanya tentang hidangan dan hiburan, tetapi tentang menghargai insan di sekeliling kita.
Tarikh Input: 30/04/2025 | Kemaskini: 30/04/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia