Oleh : Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari
UPM SERDANG, 11 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda pembangunan pelajar dan alumni melalui penganjuran Seminar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni 2026 (SEHEPA 2026) yang berlangsung pada 11 hingga 12 Mac 2026, bermula jam 9.15 pagi hingga 4.30 petang di Auditorium 2, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM. Seminar bertemakan “Memacu Pemerkasaan Pelajar dan Alumni Berteraskan Jiwa Putra, Strategi dan Impak” ini menampilkan pendekatan strategik dan berimpak dalam memperkasa ekosistem perkhidmatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) secara menyeluruh.
Seminar ini dianjurkan sebagai platform perkongsian amalan terbaik oleh pelbagai entiti HEPA dengan menekankan penyelarasan perkhidmatan yang lebih bersepadu dan berorientasikan impak. Konsep pembentangan ringkas selama 15 minit bagi setiap pembentang menjadikan pengisian seminar padat, fokus dan dinamik. Tujuh fungsi utama HEPA menjadi teras perbincangan iaitu pembangunan dan pemerkasaan pelajar, kebajikan dan kesejahteraan pelajar, pemerkasaan alumni, tadbir urus serta pendigitalan perkhidmatan, pertanian dan keterjaminan makanan, pendanaan dan penjanaan, serta kesihatan planet dan kelestarian.
Antara pembentangan yang mendapat perhatian ialah kajian bertajuk “Kesejahteraan Mental Pelajar: Analisis Saringan DASS-21 ke Arah Intervensi Holistik” oleh Wan Azurani Wan Ahmad. Kajian ini merupakan inisiatif Bahagian Kaunseling UPM bagi memantau tahap kesejahteraan psikologi pelajar baharu sesi 2025/2026 melalui saringan DASS-21 yang melibatkan 3,200 responden. Dapatan menunjukkan keresahan sebagai isu paling ketara dengan 10.21% responden berada pada tahap teruk dan sangat teruk, menekankan keperluan intervensi awal yang lebih sistematik dan menyeluruh.
Pembentangan “Sokongan Psikososial Pelajar: Peranan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Kolej Kediaman” oleh Mohamad Ashaari Awab pula mengetengahkan kepentingan sistem sokongan rakan sebaya dalam menangani cabaran kesihatan mental pelajar. Penubuhan Pasukan PRS di kolej kediaman dilihat mampu memperluas jaringan sokongan psikososial, meningkatkan literasi kesihatan mental serta mempercepatkan rujukan kes berisiko tinggi kepada pakar.
Sementara itu, pembentangan oleh Dr. Ansarul Haq Tahrir Adli menyorot peranan kolej kediaman sebagai ekosistem Jiwa Putra dalam membentuk identiti dan nilai pelajar. Peningkatan Indeks Jiwa Putra daripada 86.31% pada 2024 kepada 89.11% pada 2025 menunjukkan perkembangan positif dalam penghayatan nilai institusi melalui penglibatan aktif pelajar dalam kehidupan kolej.
Turut dibentangkan ialah pembangunan Modul Kerjaya Pelajar Universiti oleh Syarifah Sheril Azlin Syed Baharin yang berasaskan analisis keperluan 1,562 pelajar tahun pertama. Modul berfasa ini dijangka meningkatkan kejelasan kerjaya, ketahanan emosi dan kebolehpasaran graduan secara progresif selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Secara keseluruhannya, SEHEPA 2026 berjaya mencapai objektif menyediakan platform perkongsian ilmu, meningkatkan kefahaman terhadap fungsi HEPA serta memperkukuh sinergi antara fakulti, sekolah, pusat dan bahagian. Seminar ini diharap menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan perkhidmatan pelajar dan alumni UPM secara holistik, strategik dan berimpak tinggi.
Tarikh Input: 31/03/2026 | Kemaskini: 31/03/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia