Oleh: Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari
UPM SERDANG, 27 Feb - Bahagian Kaunseling UPM dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran dua Kaunselor Pelatih iaitu Saudari Nur Azlin Suhaila binti Azman dan Saudari Nurinsyirah Hanim binti Mohamad Suriadi yang telah melapor diri pada 23 Februari 2026. Kedua-dua pelajar semester lapan dari Universiti Malaysia Sarawak ini akan menjalani latihan industri selama 20 minggu di bawah seliaan Bahagian Kaunseling UPM.
Sepanjang tempoh latihan, Saudari Azlin ditempatkan di Seksyen Kaunseling Kerjaya manakala Saudari Hanim di Seksyen Pentadbiran dan Kewangan. Latihan industri ini merupakan komponen penting dalam kurikulum akademik yang memberi pendedahan menyeluruh kepada pelatih dalam bidang kaunseling.
Antara pengisian latihan termasuk mengendalikan sesi kaunseling bersama klien, mengaplikasikan teori dan teknik kaunseling dalam situasi sebenar, serta menggunakan inventori dan alat penilaian dalam pengurusan klien. Selain itu, pelatih turut didedahkan kepada etika kerja, pengurusan organisasi dan pembangunan kemahiran profesional sebagai persediaan menjadi kaunselor masa hadapan.
Pelaksanaan latihan industri ini bertujuan meningkatkan kemahiran praktikal di samping membentuk persediaan mental, disiplin kerja dan pengurusan masa dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar. Di akhir tempoh latihan, kedua-dua pelatih akan membentangkan laporan latihan industri kepada warga Bahagian Kaunseling UPM sebagai dokumentasi dan bukti pencapaian sepanjang menjalani latihan.
Bahagian Kaunseling UPM merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalani latihan industri kepada Saudari Azlin dan Saudari Hanim. Semoga pengalaman ini menjadi langkah awal yang bermakna dalam perjalanan mereka sebagai kaunselor profesional.
Untuk maklumat lanjut dan terkini, layari laman rasmi Bahagian Kaunseling UPM di www.bkupm.edu.my serta media sosial Facebook dan Instagram @bahagiankaunselingupm.

Tarikh Input: 27/02/2026 | Kemaskini: 27/02/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia