Oleh : Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari
UPM SERDANG, 12 Mac – Semangat kebersamaan dan kesukarelawanan jelas terserlah apabila seramai 20 sukarelawan daripada Bahagian Kaunseling UPM menyertai Program Pengimarahan Ramadan 1447H dengan memasak dan mengagihkan bubur lambuk di Masjid UPM pada Khamis. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Islam UPM sebagai usaha menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan komuniti.
Program bermula seawal jam 7.45 pagi dengan persediaan diri para sukarelawan yang terdiri daripada 15 staf tetap serta lima pelajar latihan industri. Para peserta tampil seragam dengan pakaian rasmi kelab berwarna hitam putih, manakala sukarelawan wanita turut mengenakan tudung merah maroon sebagai identiti program. Seterusnya, pada jam 8.00 pagi, aktiviti penyediaan bahan dan peralatan memasak dimulakan secara bergotong-royong, memupuk semangat kerjasama serta nilai kekitaan dalam kalangan peserta.
Menjelang jam 9.30 pagi, proses memasak bubur lambuk dimulakan dengan penuh dedikasi. Aktiviti ini bukan sahaja menuntut kemahiran memasak secara berkumpulan, malah memerlukan koordinasi yang baik bagi memastikan setiap bahan disediakan mengikut sukatan yang tepat. Menjelang jam 1.30 petang, bubur lambuk yang telah siap dimasak dibiarkan sejuk sebelum proses pembungkusan bermula pada jam 2.30 petang. Semua pek kemudiannya dipindahkan ke lokasi pengagihan.
Pada jam 4.00 petang, bubur lambuk diedarkan kepada warga kampus dan komuniti sekitar sebagai simbol keprihatinan serta perkongsian rezeki sempena bulan Ramadan. Program diakhiri dengan aktiviti pembersihan kawasan memasak secara bersama-sama.
Pelaksanaan program ini bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim antara staf, pelajar latihan industri serta rakan kerjasama, di samping menyemai nilai empati dan semangat kesukarelawanan. Inisiatif seperti ini juga memberi peluang kepada warga kerja untuk menyumbang kepada masyarakat dalam suasana penuh keberkatan.
Secara keseluruhannya, Program Pengimarahan Ramadan 1447H berjaya mencapai objektifnya dalam menyemarakkan budaya memberi dan berkongsi, sekali gus memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kalangan warga universiti.
Tarikh Input: 31/03/2026 | Kemaskini: 31/03/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia