SEMINAR KAUNSELING BELIA KEBANGSAAN: BAHAGIAN KAUNSELING UPM (BKUPM) PANDANG SERIUS ISU KESIHATAN MENTAL BELIA | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» BERITA » SEMINAR KAUNSELING BELIA KEBANGSAAN: BAHAGIAN KAUNSELING UPM (BKUPM) PANDANG SERIUS ISU KESIHATAN MENTAL BELIA

SEMINAR KAUNSELING BELIA KEBANGSAAN: BAHAGIAN KAUNSELING UPM (BKUPM) PANDANG SERIUS ISU KESIHATAN MENTAL BELIA

UPM SERDANG, 21 OKT - Sempena sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan, Bahagian Kaunseling UPM telah mengadakan program Seminar Kaunseling Belia Kebangsaan 2022 yang berlangsung selama 2 hari.

 

Bertemakan “Emosi Sejahtera, Hidup Bahagia”, sambutan bulan kaunseling diadakan bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan kaunseling kepada komuniti berkaitan kepentingan menjaga kesejahteraan emosi bagi menjamin hidup yang bahagia.

 

Program ini merupakan inisiatif Bahagian Kaunseling UPM bagi membantu belia terutamanya mahasiswa Universiti Putra Malaysia untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang kesihatan mental dan penambahan ilmu serta kecekapan bagi pengamal kaunseling selaras dengan tuntutan profesionalisme kaunseling di Malaysia.

 

Menurut Ketua Bahagian Kaunseling UPM, Dr. Mazila binti Ghazali,  golongan belia merupakan antara golongan yang paling ramai terkesan dengan isu masalah kesihatan mental dan kecelaruan emosi. Oleh itu, golongan belia perlu mendapat pendedahan awal tentang kepentingan menjaga kesihatan mental.

 

Seminar yang dihadiri seramai hampir 5500 perserta yang terdiri daripada pelajar, staf dan juga komuniti dari seluruh Malaysia secara fizikal dan maya ini merupakan program pertama yang berfokuskan belia dilaksanakan di UPM khususnya dan di universiti awam amnya.

 

Bertepatan dengan teras strategi HEPA ke-8 iaitu kehidupan kampus yang menekankan kepada kesihatan fizikal dan mental dengan menyentuh isu berkisar kehidupan belia, Bahagian Kaunseling UPM telah menyediakan pengisian program yang mendorong golongan belia untuk mengamalkan gaya hidup sihat, bebas dari ketagihan pornografi dan hidup sihat dari rokok.

 

Program kerjasama antara Bahagian Kaunseling UPM dan Lembaga Kaunselor Malaysia ini juga menyediakan aktiviti yang menarik seperti pameran Lembaga Kaunselor Malaysia, pameran pemeriksaan kesihatan, demonstrasi makanan sihat, slot kesihatan mental, forum belia sejahtera tanpa rokok, aktiviti senamrobik perdana  dan pelbagai lagi slot seminar yang menarik.

 

Kajian menunjukkan bahawa keseluruhan slot aktiviti yang dilaksanakan secara fizikal dan dalam talian ini berjaya memberikan impak yang positif kerana majoriti peserta menunjukkan tahap kepuasan meleibih 90% pada skala memuaskan dan sangat memuaskan. Bukan itu sahaja, tahap pengetahuan peserta terhadap isu yang dibincangkan juga meningkat selepas mengikuti seminar ini.

 

“Jika program ini mencapai matlamatnya selepas satu jangka masa tertentu, kita akan menyaksikan satu transformasi yang berlaku dalam pemahaman, pengetahuan dan peningkatan kesedaran tentang isu masalah kesihatan dalam kalangan warga UPM” ujar Ketua Bahagian Kaunseling UPM, Dr. Mazila binti Ghazali dalam ucapannya.

Tarikh Input: 31/01/2023 | Kemaskini: 31/01/2023 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEeTAz~