Oleh : Puan Ayna Marliana binti Mohamad Sari
SERDANG, 30 April – Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) telah berjaya mengadakan sesi foto korporat bagi semua warga kerja pada 22 April 2025 (Selasa) di Studio, Tingkat 3, Bangunan Canselori Putra, UPM. Sesi yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 1.00 petang ini bukan sahaja bertujuan untuk memperbaharui imej profesional seluruh kakitangan BKUPM, malah turut memperlihatkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan staf BKUPM.

Dalam memastikan kelancaran sesi foto, setiap staf BKUPM hadir dengan penuh komitmen, mematuhi kod pakaian seragam yang telah ditetapkan. Untuk lelaki, mereka mengenakan kot hitam, kemeja putih, seluar hitam dan tali leher merah, manakala wanita mengenakan kot hitam, kemeja putih, seluar hitam dan tudung merah. Penampilan seragam ini bukan sahaja mencerminkan profesionalisme tetapi juga menunjukkan solidariti dan kesatuan dalam melaksanakan tugas di BKUPM.

Jurufoto rasmi sesi ini, Encik Mozaid daripada Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, bertanggungjawab merakam gambar setiap staf BKUPM dengan penuh ketelitian. Gambar-gambar yang dirakam akan digunakan dalam pelbagai tujuan rasmi, sama ada di dalam dokumen korporat, laman web rasmi ataupun media sosial BKUPM.
Sesi foto ini juga memberi kesempatan kepada warga BKUPM untuk berganding bahu bersama dalam menjayakan program dan aktiviti rasmi. Kebersamaan dalam melaksanakan setiap program adalah nilai yang terus diterapkan di BKUPM, dan ini terbukti melalui penyertaan aktif setiap staf dalam menjayakan acara ini dengan semangat yang jitu.

Dengan imej yang segar dan profesional, diharapkan staf BKUPM dapat terus memperkukuhkan hubungan kerjasama dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar dan staf UPM. Untuk mendapatkan maklumat bagi perkhidmatan Bahagian Kaunseling UPM, boleh lawati di laman sesawang rasmi www.bkupm.upm.edu.my atau platform lain di media sosial kami Facebook, Instagram dan perhubungan melalui talian Aplikasi Whatsapp Bahagian Kaunseling UPM di nombor talian 011-5665 6221 (Waktu Operasi Pejabat).
Tarikh Input: 30/04/2025 | Kemaskini: 30/04/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia