Oleh : Encik Muhammad Za’im bin Rosli
SERDANG, 29 Jun - Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (BKUPM) terus komited memperkasakan pembangunan kepimpinan mahasiswa melalui Program Pemantapan Kepimpinan: Kenali Potensi Diri yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM). Program yang telah berlangsung pada 31 Mei 2026 dari 8.30 malam hingga 10.30 malam ini dilaksanakan secara dalam talian menerusi platform Google Meet dan berjaya menarik penyertaan seramai 185 orang pelajar.
Program ini bertujuan meningkatkan pemahaman peserta terhadap konsep psikologi dalam kepimpinan, di samping membina kemahiran kepimpinan kendiri dan interpersonal yang penting dalam melahirkan pemimpin yang berintegriti, berdaya saing dan berwibawa. Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan peserta dalam membuat keputusan yang efektif serta menyelesaikan masalah secara sistematik apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam organisasi.
Sepanjang sesi berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai pendekatan psikologi yang berkaitan dengan kepimpinan, termasuk kepentingan kesedaran kendiri, kecerdasan emosi, komunikasi berkesan serta kerjasama dalam pasukan. Perkongsian secara interaktif membolehkan peserta mengenal pasti potensi diri, memahami gaya kepimpinan masing-masing serta meningkatkan keyakinan untuk memimpin secara lebih berkesan dalam organisasi dan komuniti.
Selain itu, peserta turut berpeluang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari melalui aktiviti simulasi, perbincangan kes dan tugasan berkumpulan. Aktiviti-aktiviti ini membantu peserta mengukuhkan kemahiran berkomunikasi, meningkatkan keupayaan menyelesaikan konflik serta membina keyakinan dalam membuat keputusan berdasarkan situasi yang diberikan. Pendekatan pembelajaran yang interaktif ini menjadikan sesi lebih dinamik dan memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada semua peserta.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan apabila peserta menunjukkan peningkatan pengetahuan berkaitan psikologi kepimpinan, menguasai kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam tugasan berkumpulan serta berjaya membuat keputusan yang lebih efektif melalui aktiviti simulasi dan perbincangan kes. BKUPM berharap program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform pembangunan kepimpinan yang holistik, sekali gus melahirkan pemimpin pelajar yang berdaya tahan, beretika dan mampu menyumbang secara positif kepada universiti serta masyarakat.




Tarikh Input: 29/06/2026 | Kemaskini: 30/06/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia