APABILA ANDA RASA BERPUTUS ASA, INGATLAH KEMBALI KENAPA ANDA BERMULA | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » APABILA ANDA RASA BERPUTUS ASA, INGATLAH KEMBALI KENAPA ANDA BERMULA

APABILA ANDA RASA BERPUTUS ASA, INGATLAH KEMBALI KENAPA ANDA BERMULA

 

 Ditulis oleh : Saudari Yusniza Mohammad Yusuf (melalui Write Up Story 2022)

 

16 tahun yang lalu kerjaya saya sebagai seorang guru bermula. Sebelum ini saya berkhidmat sebagai juruanalisa sistem di sebuah organisasi awam. Saya memilih untuk menjadi guru kerana minat dan cinta yang mendalam dalam dunia pendidikan. Saya suka suasana pembelajaran bersama murid di sekolah. Tugas guru bukan sahaja sebagai pendidik di dalam bilik darjah malah di luar bilik darjah meliputi ko kurikulum dan ko akademik. Banyak yang saya pelajari sepanjang bergelar pendidik. Segalanya memerlukan kesabaran dan jati diri yang tinggi. Kata orang tangan yang menggoncang buaian itu mampu menggoncang dunia begitulah juga aura seorang guru itu mampu menarik perhatian murid dan mengubah kehidupan mereka. Di sinilah pembentukan nilai berlaku tanpa kita sedar atau tidak.

 

Besarnya tugas dan tanggungjawab seorang guru namun ini bukan menidakkan tugas dan tanggungjawab kerjaya lain. Setiap kerjaya mempunyai cabarannya tersendiri. Apa yang penting adalah cara kita menangani setiap cabaran itu. Guru diibaratkan ibu bapa kedua. Masa di sekolah membuatkan murid mempunyai lebih masa bersama guru. Guru adalah perancang, pembimbing, pengawal, pendorong dan penilai yang mana murid adalah sebagai pembelajar aktifnya. Guru juga sebagai pemudahcara dan contoh tauladan kepada murid. Ramai murid yang gemar memerhati dan menjadikan guru sebagai idola. Saya juga tidak terkecuali. Saya menjadikan guru-guru saya sebagai pemangkin semangat untuk belajar dan menanam minat untuk bergelar pendidik juga. Alhamdulillah hasrat dan cita-cita saya terlunas seperti yang dihajati. Benar setiap niat baik disusuli usaha yang baik pasti akan membuahkan hasil yang baik juga.

 

Sepanjang saya bergelar pendidik, saya pernah menggalas beberapa tugas seperti Ketua Pengawas Peperiksaan, Pengawas Peperiksaan, Ketua Panitia, Penyelaras Makmal Komputer, Penyelaras Pusat Akses, Penyelaras Transisi dan Orientasi, Penyelaras Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Setiausaha Panitia, Setiausaha Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Naib Setiausaha Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), guru kelas dan lain-lain lagi. Saya juga pernah mengajar subjek Matematik, Sains, Dunia Seni Muzik, Dunia Seni Visual dan Pendidikan Moral. Saya pernah mengajar di semua tahap daripada tahun 1 sehingga tahun 6 dan diamanahkan untuk mengajar di kelas berlainan aras keupayaan. Selain itu, saya ditugaskan untuk melatih murid dalam nyanyian, tarian, persembahan formasi kawad kaki, lakonan, boria, ‘action songs’, ‘My School Rocks Disney Channel’ dan lain-lain lagi. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk terlibat sebagai guru pengiring perkhemahan dan lawatan. Sebagai guru tahun 6 saya banyak terlibat dengan kelas tambahan di sebelah petang dan di masa cuti sekolah. Namun ini semua tidak pernah membuatkan saya mengeluh atau terasa dibebani. Segalanya saya galas sebagai amanah tugas. Paling penting pengalaman ini saya kutip untuk kegunaan di masa akan datang. Segalanya mematangkan saya dan memberikan satu pengalaman dan kepuasan tersendiri.

 

Belum lagi kalau kita berbincang tentang ragam dan karenah murid. Semua ini adalah asam garam sebagai guru. Ianya mewarnai ruang tugasan ini. Saya tidak pernah mengeluh dan terasa rimas apabila didekati oleh murid. Mereka sebenarnya memerlukan perhatian dan sokongan. Guru tidak perlu lokek untuk mengeluarkan kata-kata pengukuhan positif dalam memberi motivasi dan ransangan moral kepada murid. Sebenarnya guru perlu lebih mengenali murid. Mengetahui tentang latar belakang murid, aras keupayaan dan kecenderungan murid, minat dan kesukaan mereka. Ruang keterbukaan itu penting untuk kita lebih memahami jiwa dan arah pandangan mereka. Apatah lagi di zaman yang serba mencabar ini. Gurulah yang seharusnya memandu mereka ke destinasi cita-cita masing-masing. Memberi gambaran jelas tentang objektif yang perlu dicapai dalam sesuatu pembelajaran membantu murid untuk mengaplikasi pembelajaran dalam kehidupan seharian. Seharusnya guru memberi mereka ruang berdiskusi dan tampil dengan idea berani lagi bernas. Kemahiran berfikir aras tinggi dan berkomunikasi murid tidak harus disekat kerana di sinilah kita sebenarnya melatih para pemimpin akan datang.

 

Hari demi hari kita diperkenalkan dengan pelbagai cetusan idea baru untuk membantu meransang perkembangan dan pembelajaran murid. Pembelajaran abad ke 21 menyediakan platform keberanian untuk kita berlari di evolusi industri 4.0. Pembelajaran berasaskan komunikasi, kolaboratif, kreatif dan kritis di samping pemupukan nilai sahsiah dititik beratkan. Kita mahu menyediakan murid yang berpotensi secara holistik. Pentaksiran berasaskan bilik darjah diperkenalkan sarat dengan kelebihan dalam mentaksir kebolehan murid. Pentaksiran yang dibuat secara berterusan ini lebih bermakna dan autentik kerana menilai pencapaian sebenar murid. Berbeza dengan penilaian secara peperiksaan yang lebih menekankan konsep hafalan dan latih tubi tanpa sedar melupakan konsep aplikasi dalam kehidupan seharian dan kegunaan di masa akan datang. Murid digesa dengan desakan untuk mencapai dan mengumpul bilangan gred ‘A’. Kita akhirnya melahirkan output yang hanya hebat di gelanggang peperiksaan tetapi gagal beraksi di pentas sebenar apabila teknik komunikasi berkesan dan berhemah kurang ditonjolkan. Oleh itu, usah menyekat kebebasan bersuara murid di dalam kelas. Ransang pemikiran mereka untuk berfikir secara meluas dan melontarkan idea-idea bernas. Tugas kita adalah untuk bertanyakan soalan dalam pelbagai bentuk tanpa menafikan hak semua murid untuk memberikan cadangan dan pandangan.

 

Hebatnya dunia pendidikan ini. Guru memainkan peranan penting dalam menyediakan modal insan berwibawa. Inilah yang dinamakan tanggungjawab. Tanggungjawab yang lahir daripada niat dan rasa cinta. Rasa cinta terhadap kerjaya. Rasa cinta terhadap apa yang dilakukan. Rasa cinta terhadap anak murid. Sekiranya kita berbuat sesuatu dengan niat ikhlas dan rasa cinta segalanya akan rasa mudah dan indah. Tentu kita tidak akan sesekali mengeluh atau merungut setiap kali menerima tugas dan amanah. Terkilan dengan isu yang berlaku pada masa kini apabila ada guru mengatakan tugas yang diamanahkan sebagai satu beban. Tugas yang diberikan sebagai menyusahkan dan remeh. Perkara ini membuatkan para ibu bapa mempunyai pelbagai persepsi kepada profesion keguruan ini. Jalinan hubungan yang erat di antara ibu bapa dan guru dicemari dengan pelbagai isu. Ada yang salah menyalahkan. Seharusnya hubungan ibu bapa dan guru itu bagai aur dengan tebing, seiring dan sejalan.

 

Ada juga sebilangan guru yang seakan hilang minat dan tujuan dalam kerjaya murni ini dek kerana tanggungjawab yang telah bertukar menjadi beban. Apabila guru hilang motivasi diri impaknya tentulah kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta murid. Sebenarnya apabila anda rasa berputus asa dan ingin mengalah, ingatlah kembali kenapa anda bermula. Sekiranya kita berbalik kepada niat dan fokus sebenar, tentu kita tidak akan tersasar daripada landasan tanggungjawab. Tugas ini murni, tugas ini amanah. Lihat dan pandanglah wajah anak murid di hadapan kita ini, wajah luhur dan tulus ini memerlukan kita untuk memandu mereka ke destinasi impian. Setiap murid tidak boleh dinafikan haknya untuk mendapat pendedahan dan pendidikan. Setiap daripada mereka berhak berjaya dalam bidang pilihan masing-masing. Jangan cemari kerjaya ini dengan isu dan ragam kita terhadap tanggungjawab yang diberi. Jika sesebuah binaan itu cantik sudah pasti arkitek yang akan mendapat nama tetapi apabila sesebuah bangunan itu runtuh, pasti jurutera yang akan terpalit dengan kelemahannya. Begitulah juga guru diibaratkan. Jatuh bangun seseorang murid itu terletak di bahu guru.

 

Walau apapun, saya bangga dengan tugas sebagai pendidik. Saya tidak pernah menyesal kerana menjadi guru. Ini kerjaya pilihan saya. Saya minat, saya suka dan saya bersedia. Aura itu sebati dalam jiwa. Segala ilmu yang saya pelajari dulu, kini dan selamanya amat berguna. Guru yang menjadikan saya seperti sekarang. Tanpa usaha dan tunjuk ajar mereka, saya tidak mungkin ke tahap ini. Saya juga tidak mungkin mengikut jejak langkah mereka untuk menjadi seorang guru. Kerjaya ini menjadi pilihan kerana dengan mudahnya ia menyumbang pahala berpanjangan kerana selain daripada doa anak yang soleh, sedekah dan amal jariah adalah ilmu berguna yang disebarkan. Guru ibarat lilin yang membakar diri demi menerangi hidup insan lain bertepatanlah dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’.

Tarikh Input: 16/02/2023 | Kemaskini: 16/02/2023 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEdBAQ~