Apakah Itu “Burnout”? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Apakah itu “Burnout”?

Apakah itu “Burnout”?

Oleh : Danial Fikhry Che Rosli

Secara asasnya, ‘burnout’ didefinisikan sebagai satu keadaan di mana seseorang individu itu mengalami keletihan secara fizikal mahupun secara psikologikal yang disebabkan oleh pekerjaan atau kehidupan profesional individu tersebut.

Terdapat beberapa simtom utama yang boleh dikenal pasti bahawa anda sedang mengalami “burnout”. Sekiranya anda sedang berada dalam situasi ini, berjumpalah dengan kaunselor untuk membantu anda menghadapi isu yang dialami.

1. Runsing untuk pergi bekerja, dan ingin pulang sebaik sahaja anda berada di sana.

Sekiranya anda sering merasa risau dan runsing setiap kali anda perlu keluar pergi bekerja, anda berkemungkinan sedang mengalami “burnout”. Anda mula berasa tidak berasa seronok dan sering rasa terbeban dengan kerja yang menyebabkan anda mahu terus pulang ke rumah meskipun anda baru sahaja tiba di tempat kerja.

 

2. Mempunyai perasaan kekosongan apabila berada di tempat kerja

Keadaan ini boleh terjadi disebabkan oleh anda tidak mempunyai minat dan semangat dalam melakukan kerja anda. Ianya boleh berlaku apabila anda melakukan kerja yang anda tidak suka dan langsung tidak mempunyai motivasi untuk melakukannya ianya akan membawa kepada situasi “burnout”.

 

3. Mudah berasa jengkel dengan ahli pasukan atau pelanggan

Antara cara lain untuk melihat sama ada anda berada di dalam fasa “burnout” adalah apabila anda mula berasa jengkel dengan rakan sekerja mahupun dengan pelanggan. Sekiranya pekerjaan anda melibatkan perhubungan anda dengan pelanggan dan anda tidak berasa sesuai dengan perhubungan sosial yang perlu dilakukan, ia boleh mencetuskan keadaan “burnout” kepada diri anda. Hubungan sosial yang tidak baik antara diri anda dengan rakan sekerja boleh memudaratkan perasaan anda semasa berada di tempat kerja dan boleh memburukkan lagi "burnout” anda.

 

4. Mempunyai pemikiran bahawa kerja anda tidak mempunyai makna atau membuat perubahan

Sekiranya anda merasakan bahawa kerja anda adalah sia-sia dan tidak membantu organisasi anda, ini bermakna anda sudah tidak dapat mencari makna dalam pekerjaan yang anda lakukan. Anda akan mula berasa tidak bermotivasi dalam melakukan kerja anda dan anda tidak lagi akan melakukan yang terbaik dalam pekerjaan anda kerana anda merasakan bahawa kerja anda tidak penting dan hasilnya tidak akan merubah apa-apa.

 

5. Anda sedang berfikir untuk berhenti kerja, atau menukar peranan

Tanda yang paling signifikan yang menunjukkan bahawa anda tidak lagi bersemangat untuk bekerja dan mengalami “burnout” adalah apabila anda sering kali terfikir untuk berhenti kerja mahupun mahu untuk melakukan kerja yang lain. Keadaan ini akan menyebabkan anda tidak fokus dalam melakukan kerja anda dan anda tidak akan lagi bersemangat melakukan pekerjaan anda kerana anda hanya terfikir untuk berhenti dan melakukan kerja yang lain.

 

Kesimpulannya, isu “burnout” bukanlah isu yang remeh dan boleh dibiarkan begitu sahaja. Kesan daripada “burnout” boleh mengganggu kualiti hidup individu dan memberi kesan kepada produktiviti hidup mereka. Maka, sekiranya anda merasakan yang anda mempunyai tanda-tanda berada di dalam fasa “burnout”, silalah lakukan temujanji bersama dengan para kaunselor dan sama-sama fikirkan cara untuk mengatasi permasalahan ini.

 

Sumber Rujukan : Freudenberger H.J. (1983). Burnout. New York; Bantam  

 

Tarikh Input: 15/08/2022 | Kemaskini: 17/08/2022 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEdBA6~