Bara Di Hujung Tanjung | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Bara Di Hujung Tanjung

Bara Di Hujung Tanjung

Oleh :  Nur Aisyah binti Zoraidi

(Melalui Program Write Up Story)

 

Pemandangan yang terbentang luas di depan mata Hamdi kelihatan begitu indah ibarat setitik syurga tumpah ke bumi, tepat-tepat di tempat Hamdi sedang termenung jauh. Walaupun di minda Hamdi kelihatan imej-imej masalah duniawinya, di matanya memantulkan refleksi sungai biru yang sangat jernih seperti terdapat kelompok-kelompok awan di udara dan juga di darat.

Sudah menjadi suatu kebiasaan buat Hamdi tatkala dia ingin berfikir mahupun menenangkan diri, dia akan ke tanjung terletak tidak jauh dari rumahnya dan duduk di situ sambil membiarkan kakinya terjuntai malu-malu mencelup air sungai. Ketika matahari ingin menyambut kedatangan bulan, Hamdi tidak sedikit pun berganjak dari tanjung sungai meskipun alam telah memberi isyarat kepadanya untuk berhenti termenung dan pulang ke rumah. Di tangannya terdapat sekeping surat tawaran pengajian.

Dia tidak pasti jika dia mahu beritahu ibunya tentang tawaran itu. Sejak pemergian bapanya ketika dia masih kecil, ibunya membesarkan dan menanggungnya seorang diri. Hamdi lihat ibunya melakukan dua pekerjaan serta mengambil upah menjahit baju semata-mata untuk meletakkan nasi di pinggan Hamdi.

Pengorbanan ibu Hamdi telah membuatkan Hamdi berkobar-kobar untuk belajar bersungguh-sungguh agar dia mampu memberi masa hadapan tiada lain selain yang terbaik buat ibunya. Sekali sekala, Hamdi akan menolong ibunya mencari duit lebih dengan bekerja sambilan di kedai-kedai makan atau kedai runcit.

Akhirnya Hamdi mengalah dengan alam, membiarkan mereka rehat setelah seharian menjalankan tugas mereka dan beransur pulang ke rumahnya. Tibanya di rumah, dia tersenyum menghidu aroma masakan ibunya dari ruang tamu. Hamdi terus

 

ke dapur untuk lihat masakan apa yang telah disediakan oleh ibunya. Sebelum dia sempat mengangkat tudung saji, Hamdi mendengar ibunya berkata,

“Kalau ya pun lapar, basuh tangan dahulu atau mandi dahulu. Kamu baru balik dari tanjung senja-senja ini. Bersihkan diri dahulu.”

“Alah Mak, Hamdi cuit sedikit sahaja lauk-lauk ini.”, balas Hamdi cuba bermanja dengan ibunya.

Ibunya tidak termakan umpan anaknya itu namun berkata lembut, “Dah, dah.

 

Pergi mandi, solat dan lepas itu kita makan sama-sama. Beres?”. “Beres bos.”, kata Hamdi tersenyum girang.

Setelah selesai segalanya, Hamdi segera ke dapur kerana perutnya sudah memberontak mengarahkannya untuk makan. Tanpa disuruh, dia mengeluarkan dua pinggan dan gelas untuk mereka dua beranak. Dia mengambil tempat di meja makan, menunggu ibunya selesai solat Maghrib.

Tidak lama kemudian, ibunya mengambil tempat duduk berhadapan dengan Hamdi. Hamdi membaca doa makan dan mereka sekeluarga menikmati rezeki yang dianugerahkan oleh Yang Ilahi. Sedang khusyuk menjamu selera, Hamdi terhenti seketika suapannya dan teringat akan surat tawarannya dan dia berasa ragu-ragu untuk memberitahu ibunya. Ibunya, seperti dapat membaca bisikan hati Hamdi memberhentikan jamuannya dan mengalih pandangannya ke satu-satunya anak dan ahli keluarganya.

Hamdi ketika itu sedang kaku dan tunduk memandang kertas di dalam kocek seluarnya mengangkat mukanya perlahan-lahan apabila ibunya memanggilnya dengan nada perlahan,

 

“Nak, kenapa ini? Tiba-tiba terhenti makannya? Kamu ada masalah ke? Ada apa-apa yang Mak boleh bantu Hamdi?”

“Hamdi dapat kiriman surat siang tadi. Hamdi tak sampai hati hendak sembunyikannya daripada Mak. Nah, Mak.”, balas Hamdi serba salah sambil menghulurkan surat tawaran kepada ibunya.

Ibu Hamdi membuka lipatan surat itu dengan hanya sebelah tangan kerana tangannya yang lain masih terlekat butir-butir nasi dan kesan lauk-lauk. Suasana di dapur senyap apabila ibu Hamdi tekun membaca surat tawaran itu. Ekspresi ibunya tidak dapat dibaca Hamdi kerana satu saat ibunya tersenyum lebar, dan ada ketika dahi ibunya berkerut. Akhirnya ibunya membuka mulut,

“Ini berita baik Hamdi. Kenapa kamu mahu sembunyikannya dari Mak? Bukan selalu orang dapat sambung pengajian ke Universiti Malaya. Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi.”

“Tapi Mak, yuran pengajiannya begitu tinggi dan itu tidak termasuk pembiayaan lain. Lagipun, kalau Hamdi terima tawaran ini, Mak akan tinggal seorang diri di sini.”, Hamdi menyatakan sebab-sebab kenapa dia tidak mahu sambung belajar.

“Hamdi anak Mak. Mak nak Hamdi berjaya di masa hadapan dan Mak juga nak tengok Hamdi hidup senang nanti. Langkah pertama untuk semua itu adalah dengan Hamdi bersetuju dengan tawaran ini.”, ibu Hamdi menenangkan hati Hamdi yang gelisah.

“Hamdi boleh cari cara lain untuk berjaya dari sini juga Mak. Tidak perlu Hamdi tinggalkan Mak seorang diri dan tidak sedikit wang pun yang dibazirkan.”, Hamdi balas.

 

“Mengeluarkan duit demi menuntut ilmu bukan sesuatu yang membazir, si anak tunggal Mak ini. Tidak mengapa, esok Mak akan ke pekan mohon pinjaman di bank. Dan soal Mak tinggal seorang itu, kamu tidak perlu risau. Ramai lagi jiran-jiran yang ada di sini.”, cadang ibunya.

“Tapi Mak…”, Hamdi ingin membantah namun ibunya mencelah dan menyuruh Hamdi menghapuskan kerisauannya.

Keesokan pagi, ibu Hamdi pergi ke pekan seorang diri kerana anaknya telah bergerak ke tempat kerja sejak subuh lagi.

Ibu Hamdi membuat pinjaman buat anaknya di bank dan setelah beberapa jam menandatangani dokumen-dokumen penting, akhirnya pinjaman itu diluluskan dan tanpa berfikir panjang, ibu Hamdi mengeluarkan sejumlah besar wang dan segera masukkannya di dalam beg tangannya.

Tanpa melengahkan masa, ibunya menuju ke pondok perhentian bas terdekat dan duduk dengan penuh kesabaran menunggu bas ketika matahari sudah mulai mencanak. Rutin harian yang selebihnya berjalan seperti biasa; bas tiba, ibu Hamdi segera menaiki bas, bas tiba di persimpangan rumahnya, ibunya berjalan sehingga di hadapan pintu rumahnya.

Sesudah sampai di perkarangan rumahnya, ibu Hamdi merapatkan ruang antara pintu hadapan rumah dan dirinya dan khairan kerana pintu itu tidak berkunci. Dia menganggap anaknya pulang awal dari tempat kerja. Sangkaannya hancur apabila dia melihat dua bayang hitam berdiri kaku dihadapannya sambil memegang barangan elektronik dan memandang ibu Hamdi.

“Aduh.”, Hamdi mengeluh kecil apabila jarinya luka terkena tepi pinggan sumpit ketika dia sedang mencuci pinggan mangkuk di belakang kedai makan.

 

“Kau okey tak, Hamdi?”, tanya rakannya berbunyi kerisauan pada kata- katanya.

Hamdi mengangguk-angguk tanda ya dan melihat jam di dalam kedai sudah menunjukkan waktu untuk dia berhenti rehat. Entah kenapa, Hamdi mempercepatkan langkahnya ke rumahnya.

Setibanya Hamdi di pintu rumah, dia perlahan-lahan membuka pintu dan mendapati rumahnya dalam keadaan tonggang-langgang. Belum sempat dia meredakan cungapnya, dia segera mencari kelibat ibunya dan terjumpa titisan-titisan darah di lantai seperti membentuk satu laluan ke dapur, seterusnya pintu belakang rumah. Pintu itu terbuka luas dan Hamdi melihat ibunya tidak sedarkan diri, kaki dan tangannya terikat dan diheret ke tanjung sungai oleh dua jejaka berpakaian serba hitam.

Sepantas kilat Hamdi berlari mendapatkan ibunya. Tangannya cuba mencapai ibunya namun dia disambut oleh pukulan di kepalanya oleh salah seorang jejaka itu. Hamdi rebah di tanjung, badannya berat untuk bangun dan dengan begitu sahaja, dia menyaksikan ibunya dicampak ke dalam sungai. Kedua-dua jejaka itu bergelak sakan dan dalam perjalanan untuk beredar dari situ, mereka sempat lagi menyepak Hamdi yang terbaring di tanjung berulang-ulang kali.

Hamdi mengheret badannya secepat mungkin untuk menyelamatkan ibunya. Dia bangun tidak mengendahkan kesakitan di sekeliling badannya dan terjun ke dalam sungai. Beberapa minit berlalu dan ketulan-ketulan buih-buih muncul di permukaan air dan Hamdi mengangkat ibunya dan meletakkannya di tanjung. Dia memeriksa bibir ibunya biru dan sambil menahan tangisan, Hamdi mengaplikasikan Resusitasi Kardiopulmonari atau CPR berulang kali kepada ibunya.

 

Tidak menerima sebarang respon, dia membuka ikatan di tangan dan kaki ibunya, memeluk erat badan ibunya yang pucat. Akhirnya kalah dalam pertarungan emosinya, dia menitiskan air mata meratapi wajah ibunya. Hamdi seperti orang yang tidak keruan; menangis, menjerit, meraung, menyebut nama ibunya pada satu masa.

Setelah beberapa minit berlalu, orang-orang kampung mulai berkumpul tidak jauh dari tanjung tempat Hamdi memeluk ibunya. Badan Hamdi mengigil menahan marah. Riuk wajahnya berubah seperti sesuatu perkara buruk berlegar di mindanya. Dua jejaka itu sudah mencetuskan sesuatu di dalam diri Hamdi. Bara. BARA DI TANJUNG.

Tarikh Input: 22/09/2022 | Kemaskini: 22/09/2022 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEbXAs~