Berbaiklah Dengan Guru | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Berbaiklah dengan Guru

Berbaiklah dengan Guru

Oleh : En. Muhammad Za'im bin Rosli

 

“Apa yang aku buat semua tak kena di mata dia. Suruh hantar assignment aku hantar, dah buat temu janji kata nak jumpa jam 12.00 tengahari, dibatalkan pula ada mesyuarat lah apalah. Dalam kelas selalu buat aku rasa bodoh. Apa masalah engkau ni ha?. Kenapa dengan orang lain engkau ok je. Dengan aku engkau semacam je.”

Konflik sering berlaku dalam hidup kita. Bukan sahaja dengan pensyarah atau pengajar, konflik juga boleh berlaku dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan teman hidup.

 

Berkongsi pengalaman yang pernah saya lalui sewaktu zaman di kampus dahulu, saya pernah berhadapan dengan seorang pensyarah yang mempunyai personaliti diri yang agak menjengkelkan pada mulanya. Manakan tidak, setiap pagi masuk sahaja ke dalam kelas beliau akan mengatakan yang “saya bosan betul kalau masuk ke kelas ini..Kelas ini selalu mengubah mood saya kepada negatif. Tidak cukup dengan itu, beliau akan menambah lagi perkataan seperti budak-budak sekolah agama ni selalunya memang pasif. Tak boleh fikir dengan kreatif. Allahuakbar. Sepanjang semester itulah ayat yang dituturkan. Apabila berjumpa dan berselisih sahaja dengan pensyarah ini, pasti pelajar akan mengubah laluan dan tidak mempedulikan beliau. Di dalam kelas semua pelajar resah dan menunggu bila akan habis kelas dek kerana tidak tahan dengan kata-kata sinis yang dihamburkan.

 

Pada suatu pagi, kelas kami diubah ke perpustakaan universiti. Dengan rasa marah dan bengang, kami berjalan kaki ke perpustakaan tersebut dan beratur untuk memasuki pintu perpustakaan. Dengan suara yang lantang, beliau menempek kami dengan berkata cepat!!. Terhegeh-hegeh! Sambil disaksikan orang yang sedang berada di dalam perpustakaan tersebut. Dengan tidak sengaja, saya meleret mata ke arah beliau untuk melihat apakah tindakan berikutnya yang akan dilakukan oleh beliau.

 

Tiba-tiba saya terlihat beliau disapa oleh seorang petugas perpustakaan , dan beliau melayan petugas tersebut dengan ramah dan mesra. Petugas tersebut juga kelihatan begitu berkeyakinan sewaktu berkomunikasi dengan beliau. Hal ini telah menarik perhatian saya untuk mendekati petugas tersebut. Seakan tahu niat di hati saya ingin bertanyakan sesuatu, petugas tersebut terus mengatakan “adik, ikutkan sahaja. Jangan lawan-lawan. Nanti jinaklah tu. Dah jinak, akan lebih kenal. Bila dah kenal, akan lebih faham. Bila dah faham, akan lebih sayang. Bila dah sayang, maka terjalinlah ukhwah dan silaturahim.

 

Kata-kata petugas ini sangat membekas di hati saya dan saya cuba laksanakan langkah demi langkah. Pada mulanya terasa gerun untuk mendekati beliau. Tetapi saya terus memaksa diri untuk mendekatinya juga dan menamakan proses itu sebagai 'Projek Memikat Hati Pensyarah'. Saya mulakan dengan aktiviti-aktiviti yang menonjolkan diri sehingga nama saya sering disebut. Seterusnya saya lakukan apa yang beliau suka untuk pelajarnya lakukan. Dan akhirnya saya dapat berkenalan dengan lebih baik dengan beliau, dapat berkenalan dengan latar belakang beliau dan beberapa isu yang bermain difikiran beliau, sehingga akkhirnya kami menjadi rakan dan sering berjumpa untuk berbincang.

 

Ternyata apa yang membuatkan beliau bersikap tegang dan kurang selesa dengan kami ada sebabnya. Pengalaman bersama 'senior' yang kurang menyenangkan menjadikan kami digeneralisasikan sehingga terbawa-bawa kepada kumpulan kami. Kebetulan seorang dua daripada kami juga menampilkan sikap yang hampir sama dengan senior yang pernah beliau temui. Ternyata, selepas dapat perkenalan dengan lebih baik, dan memahami diri beliau, banyak pengetahuan yang saya perolehi dan ilmu pengetahuan saya semakin bertambah.

 

Berdasarkan pengalaman yang saya lalui, bolehlah saya kongsikan beberapa tip untuk mengendalikan konflik diantara pelajar dengan pensyarah mudahan-mudahan memberi manfaat.

 

Tips LEBAH

1. Lihat dari kacamata positif

 

Seperti si lebah, dia akan memulakan harinya dengan mencari bunga yang untuk disedut madunya. Walaupun pokok itu berduri, namun lebah pasti mencari bahagian yang positif dari bunga tersebut untuk diambil. Begitulah sebagai seorang pelajar, melihat gurunya dari kaca mata yang positif. Walaubagaimana pun bentuk layanan yang diberikan, itu hanyalah luaranya dan dia tetap adalah guru kita yang memberi manfaat dan kebaikan kepada diri kita. Jadi cari sudut positif, baru nampak kebaikan yang boleh dikongsi.

 

2. Dekati

 

Seperti si lebah, tidak hanya melihat dari jauh, malah lebah membuat keputusan dan tindakan untuk mendekati bunga tersebut. Walaupun baunya mungkin tidak menyenangkan, walaupn tangkainya berduri, walaupun bunga itu tinggi dan tersorok, namun lebah tetap mendekati. Begitulah juga sebagai seorang pelajar, menjadi satu daripada adab kita untuk mengenali guru kita. Titik pertemuan itu akan membuahkan interaksi yang positif. Dan pasti hubungan akan terus terjalin dan erat. Penting juga bagi pelajar mengenali cara kerja, gaya kepemimpinan, gaya pengurusan, personaliti dan gaya komunikasi pensyarah untuk memudahkan urusan kedua-kedua belah pihak. Ini bagi mengelakkan salah faham dalam komunikasi

 

3. Berkongsi emosi positif

 

Seperti si lebah saat dia mendekati bunga itu, didekati dengan cara yang penuh hikmah. Tahu akan dirinya ingin mengambil manfaat dari bunga tersebut, maka sepenuh tumpuan dan perhatian diberikan kepada si bunga dengan sentuhan yang sungguh menghormati. Begitulah juga sebagai seorang pelajar, saat bersama dengan pensyarah, lontarkan emosi yang ikhlas dan positif. Sesungguhnya lontaran emosi yang positif mampu dirasai dan memberi kesan tindakbalas yang baik.

 

4. Sebarkan aura positif

 

Seperti si lebah, sebaik manfaat yang diambil dari empunya badan, si lebah akan meyebarkan manfaat yang baik sehingga menjadi ubat atau penawar kepada kehidupan yang lain. Begitu juga sebagai seorang pelajar, setelah interaksi terbentuk, silaturahim terjalin, maka menjadi tanggungjawap kepada pelajar untuk menyebarkan aura dan suasana yang positif berkaitan pensyarah dan bukannya menambah cerita yang menampakkan lagi buruk seorang guru. Dengan itu segala salah faham akan berubah segala tanggapan negatif akan menjadi positif.

 

5. Hidupkan semangat positif

 

Seperti si lebah, debunga yang disebarkan akan menghidupkan kehidupan yang baru. Benih -benih kehidupan yang baru akan berputik dan kembali menghidupkan harapan. Begitu juga sebagai seorang pelajar, menyebarkan aura dan semangat yang positif akan menghidupkan hari yang suram. Pensyarah juga memerlukan tenaga dan aura yang dicurahkan oleh pelajar mereka untuk terus bertenaga dan kekal positif. Dengan sokongan dan semangat yang berkobar dari pelajar sudah pasti, hidup yang dahulunya membosankan kembali segar dan bertenaga sehingga menerbitkan idea-idea yang kreatif dan seribu satu solusi.

 

“Guru umpama pelita yang menerangi kegelapan malam. Tatkala pelita dinyalakan maka bersinar lah kehidupan dengan sejuta pengharapan. Saat ia dimatikan, maka gelap gelita lah kehidupan dan arah dan panduan. Hormati guru”.

 

Dipetik daripada Buku 170 Kata-kata Mendorong menjadi Pelajar Hebat; Rahsia Tindakan Untuk Sihat Emosi Buat Pelajar.

.......................................................................

Jom kita lihat apa kata-kata En. Muhammad Za'im mengenai Hubungan dengan Pelajar-Guru.

Tarikh Input: 11/06/2021 | Kemaskini: 23/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcKAY~