DILEMA SEORANG ANAK | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » DILEMA SEORANG ANAK

DILEMA SEORANG ANAK

Penulis : Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B,P.A

Laporan pesakit katil 14 aku tatap, baca satu persatu maklumat yang tertulis. Aku catatkan perkembangan keputusan ujian darah yang diambil pagi tadi. Dapat dilihat raut wajah penjaga pesakit ini sugul dan tidak bermaya. Mengikut informasi jururawat bertugas, penjaga ini adalah ayah kepada pesakit ini. Katanya pesakit telah mengambil panadol dengan dos berlebihan. Melihatkan usianya 17 tahun, sudah dapat keputusan SPM barangkali. Apakah yang berlaku pada keluarga remaja ini? Teringat kenangan 7 tahun yang lalu, tatkala berlaku konflik antara ayah dan aku.

Aku anak sulung dalam keluargaku. Akulah anak pertama ibu dan ayah yang sering menjadi bahan bualan dalam kalangan bapa-bapa saudaraku yang membandingkan aku dengan anak mereka. Syukur kepada Allah yang memudahkan urusan aku sepanjang aku belajar dari alam persekolahan sehingga hari ini.

Surat bersampul putih yang telah lama aku nantikan, tiba hari ini. Berbunga-bunga hatiku membaca setiap bait-bait perkataan dalam surat tersebut. Aku berjaya menyambung pengajian di universiti pilihanku. Dalam aku melompat kegirangan aku menghulur surat kepada ayah yang sedang berehat di pangkin rumah. Riak wajahnya yang terkejut dan tidak gembira seolah-olah menidakkan kegembiraan yang sedang aku alami. Ya, universiti dan pilihan program yang aku dapat ini bukanlah pilihan ayah. Ayah mahu aku menyambung dalam bidang perubatan. Keyakinannya kepadaku untuk aku menjadi pemangkin kepada adik-adikku yang lain untuk berjaya masuk ke universiti dalam bidang profesional. Itu standard yang diletak oleh ayah. Baginya bidang pendidikan tidak membawa aku ke mana-mana. Kerjayaku akan berakhir di sekolah sahaja, tidak popular, gaji juga tidak mahal malah tidak gah di mata sesiapa.

Terduduk aku bersendirian. Terasa kosong minda dan jiwa ini. Kegembiraan yang baru aku rai tadi, hilang bagai disapu angin taufan. Ya, taufan yang menyebabkan ribut dalam kepalaku. Aku terpaku sendirian. Melihat wajah ibuku yang serba salah untuk memujukku, meskipun nampak kegembiraan di wajahnya namun tidak pada lakunya. Mungkin sebab tidak mahu menambah kekeruhan antara aku dan ayah.

Aku tatap kembali surat tawaran universiti yang aku terima pagi tadi. Aku baca satu persatu.

“TAWARAN MENGIKUTI PROGRAM PENGAJIAN DIPLOMA PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK, AMBILAN MAC 2022”

Salahkah pilihanku? Sejak dari awal persekolahan, hidupku diatur oleh ibu dan ayah. Mungkin juga rezeki aku yang tidak mempunyai masalah dalam pelajaran di sejak dari sekolah. Di Tingkatan 3. rezeki keputusan PT3 aku cemerlang dan aku terpilih untuk meneruskan jurusan Sains Tulen di Tingkatan 4. Ayah gembira bukan kepalang kerana itulah yang beliau inginkan. Bak kata kaunselor sekolah, di Tingkatan 5 ini merupakan titik tolak masa depan kami. Bermula di sini, kami perlu memilih jurusan yang sesuai dengan minat dan potensi yang kami ada. Bagiku pula, inilah masanya aku perlu belajar membuat keputusan demi masa depanku. Semenjak itu, setiap hari aku berulang-alik ke Bilik Kaunselor untuk berbincang mengenai perancangan pemilihan universiti dan program pengajian bagi mengisi borang UPU. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan minat dan kebolehanku cumanya aku tersilap kerana tidak membawa perbincangan ini bersama ibu dan ayah. Akhirnya kesilapan itu menjerat aku sendiri.

Ayah masih bermasam muka. Sudah dua hari berlalu sejak aku menunjukkan surat tawaran. Tiada lagi gurauan dan hanya bercakap apabila perlu sahaja. Malahan adik-adik aku mula menjauhkan diri daripada aku kerana takut terkena tempias emosi ayah kepada mereka.

“Assalamualaikum cikgu, saya Amin. Boleh saya call cikgu sekejap?” Pantas sahaja tangan menaip di Aplikasi Whatsapp. Aku sudah buntu, aku perlukan seseorang untuk bantu aku meleraikan kekusutan ini. Aku tidak mahu perkara begini menyebabkan hubungan aku dengan ayah retak. Lega perasaanku apabila mendengar bunyi ‘beep’ tanda mesejku dijawab.
“Boleh Amin, cikgu call awaklah” balas cikgu Athirah. Tidak lama kemudian paparan nama Cikgu Athirah naik di telefon bimbit aku. Inilah guru kegemaran aku, cikgu Athirah. Beliau selalu menyokong dan sentiasa memberi galakan kepada aku sepanjang aku di sekolah. Usianya mungkin sebaya ayah namun layanan dan sikapnya yang terbuka banyak mengubah persepsi dan nilai aku terhadap makna kehidupan. Aku bercerita kepada cikgu apa yang telah berlaku di rumah. Cikgu Athirah mencadangkan untuk aku menyambung ke Tingkatan 6 atau Pra Universiti dan kemudian menyambung ke bidang perubatan. Di sinilah taruhan kerjaya aku bermula. Demi mencapai minat aku bekerja dengan kanak-kanak, aku memilih bidang perubatan seperti mana yang diharapkan oleh ayah dan aku akan memilih kepakaran pediatrik bagi memenuhi kepuasan kerjayaku. “Biarlah situasi win-win” kata cikgu Athirah di hujung perbualan.

Tidak perlu lagi aku pertahankan egoku. Yalah, aku ni anak. Akulah yang rugi andainya aku masih degil dengan kemahuanku sedangkan aku sebenarnya sedang mengorbankan sesuatu yang berharga dalam hidupku iaitu hubungan aku dengan ayah.
“Yah, boleh kita bincang sikit?” tegur aku ketika ayah sedang ralit membaca akhbar di ruang tamu. “Nak bincang apa lagi? Ayah dah jelaskan dengan kamu tempoh hari” ayah merengus di sebalik surat khabarnya.
“Amin ikut cakap ayah, Amin akan ambil bidang perubatan seperti yang ayah nak”. Terus ayah melipat surat khabar dan menunjukkan wajahnya kepadaku, nampak sedikit kelegaan di wajahnya. Aku berkongsi perancangan yang telah aku bincangkan bersama cikgu Athirah. Aku akui, sebelum ini aku tersilap kerana tidak terbuka untuk berbincang perihal akademik dan kerjaya. Aku belajar sesuatu daripada peristiwa hari ini. Terima kasih Allah kerana hadirkan aku orang yang baik-baik di sisi aku. Kata-kata cikgu Athirah yang aku akan pegang sampai bila-bila, masih terngiang-ngiang dalam mindaku sehingga ke hari ini.

“Sebaik mana pun rancangan yang telah dibuat, tidaklah meninggalkan restu ibu dan bapa kerana merekalah asbab syurga buat kita”.

Tersentak aku dari lamunan apabila mendengar jeritan wanita separuh abad sambil berlari ke arah katil 14. “Ibunya barangkali”, fikirku. Mereka bersalam-salaman dan saling bercerita kejadian yang berlaku. Semoga keluarga ini dilindungi dan semuanya akan baik-baik sahaja selepas ini.

Tarikh Input: 30/03/2023 | Kemaskini: 30/03/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcHA7~