Hidup Ada Tujuan | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Hidup Ada Tujuan

Hidup Ada Tujuan

Oleh : En. Haniff Abdullah Hashim

 

Ibu menangis lagi, matanya merah. Berjurai air mata, basah tudung dan bahu baju kurung kuning berbunga halus yang dipakainya. Acap dia memeluk anak lelakinya, wajah menantu dan cucu-cucunya ditatapi puas-puas. Hatinya masih berat, berat melepaskan pemergian anak lelakinya yang seorang ini. Dia memikirkan umurnya telah banyak, hampir mencecah 80. Hukum alam kuat menyatakan, dia akan dijemput menghadap Allah kelak. Mungkin ini pertemuan terakhir dengan Razak, anak ketiga dari empat orang jumlah anaknya. Tangis Razak menyahut tangis ibunya, anak mana sanggup mendengar ratap tangis ibu sendiri. Lemah seluruh sendi.

 

Kali ini dia nekad. Dia akan buktikan. Inilah saatnya, apa yang dia impikan selama ini. Setelah impiannya hanyut, terlambung ombak kehidupan. Kali ini dia sungguh-sungguh mahu berenang meredah ombak-ombak itu. Dalam usia empat puluh lima tahun, dia tidak muda lagi. Dia tidak tahu bilamana ajal akan menjemputnya. Dia melihat sekeliling. Panggilan dari alat siaraya telah beberapa kali memanggil penumpang pesawat A0370 yang menuju ke Amerika Syarikat supaya menaiki pesawat dengan segera.

 

Dia melepaskan pelukan. Dia memegang bahu ibu. Menundukkan sedikit kepalanya. Tangan ibunya yang lemah dipegang erat. Kedutan pada dahi dan wajah ibu dia renungi dalam.

 

“Emak, Razak minta maaf, jika inilah pertemuan kali terakhir kita. Razak mohon, ampun maaf banyak. Halalkan makan minum Razak, emak,” suaranya tenggelam dalam tangis. Teresak dalam usapan seorang ibu.

 

Ibunya meraung, tidak dapat tertahan lagi rasa hiba, sesak, sedih, risau semua terkeluar bagai empang yang terpecah. “Emak, pun macam itu Razak, doakan keluarga kita baik-baik, InsyAllah nak, kalau ada umur kita jumpa lagi. Jika tidak sempat, ibu pun mohon maaf banyak-banyak nak". Sekali lagi mereka tenggelam dalam perasaan masing-masing.

 

Kakaknya datang melepaskan rungkaian dua beranak itu. Memujuk ibu, menyalami Razak. “Engkau pasti Razak?,” dipandangnya wajah adiknya dengan tanda tanya. “ Pasti kakak, inilah masa untuk saya. Sekurangnya sebelum saya menutup mata. Saya berusaha menggapai impian saya. Saya tidak malu untuk cerita pada anak-anak saya, yang saya punya impian dan saya berusaha mencapai apa yang saya nak,” kakaknya menggeleng kepala, tersenyum. Senyuman yang tidak dapat diterka. “Kenapa sekarang Razak?, emak sudah tua, bila-bila masa,” kakaknya menyeka air mata.

 

“Saya pun macam itu kakak, saya pun bila-bila tuhan akan cabut nyawa saya, tiada bezanya. Baik yang muda, baik yang tua. Berilah peluang saya, tebus kembali cita-cita saya yang tertinggal. “Kakak fikir engkau dah lupakan impian engkau".

 

“Betul kak, saya dah hampir lupakan impian saya. Tetapi akhir-akhir ini saya rasa ada sesuatu yang kosong dalam hidup saya, ada janji pada diri yang masih tidak terpenuhi”. Dia kembali menyalami ibunya, “ Emak saya mohon, emak restuilah saya ini. Ibu pernah cakap pada saya, belajarlah selagi engkau terdaya, itu yang saya akan pegang dan di warisi pada cucu-cucu emak kelak. Terima kasih atas segalanya Mak,”

 

Berat hatinya melangkah, meninggalkan keluarganya semakin jauh. Tidak sanggup lagi untuk dia menoleh, hatinya dikeraskan. Sekeras titanium yang sukar dilebur. Dia restu ibu selalu dengannya, ibunya mengizinkan dia pergi, hanya nuansa perpisahan menyiat jiwa-jiwa halus yang tertanam.

 

Kapten kapal, Pesawat Boeing 777 mengumumkan pesawat akan melakukan perlepasan, anak kapal mengambil tempat. Bila mana deru enjin, Boeing 777 membelah langit, dia memandang ke wajah anak-anak dan isterinya, air matanya sekali lagi. Berjurai. Acapkali impian itu memerlukan tekad, dan tekad yang paling perit padanya kali ini adalah meninggalkan kedua ibunya yang sudah berumur, dengan jarah berpuluh ribu batu.

 

Dipetik dari Buku 170 Kata-kata Mendorong Menjadi Pelajar Hebat : Rahsia Tindakan untuk Emosi Sihat Pelajar. Mukasurat 24.

 

Kata-kata Hikmah untuk Membina Matlamat Hidup.

Tarikh Input: 03/03/2021 | Kemaskini: 24/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcWAT~