IKIGAI DALAM KERJAYA DAN KEPEMIMPINAN | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » IKIGAI DALAM KERJAYA DAN KEPEMIMPINAN

IKIGAI DALAM KERJAYA DAN KEPEMIMPINAN

Penulis : Dr. Mazila binti Ghazali K.B,P.A

Dalam bicara kali ini saya tertarik untuk berkongsi tentang konsep ikigai dalam kehidupan seorang pemimpin. Kita semua pemimpin kepada diri sendiri, keluarga dan organisasi. Berdasarkan konsep ikigai sebagai sebuah jalan, sebuah cara untuk hidup atau perjalanan hidup yang bermakna dengan pelbagai tujuan. Tahukah anda sebagai pemimpin, keadaan fizikal pemimpin yang sihat adalah dipengaruhi oleh kesihatan mental dan emosi serta tujuan hidup sesorang pemimpin. Michiko Kumono (2017), mengatakan bahawa ikigai adalah keadaan sejahtera yang didapati daripada aktiviti yang dinikmati oleh seseorang dan membawa kepada rasa puas.

Setiap dari kita mungkin telah melalui pelbagai fasa dalam kehidupan. Mungkin ada juga masih berada pada fasa yang sama. Pernahkah kita tertanya-tanya apakah pilihan kita ini betul, tepat dan benar? Apakah aku mempunyai keinginan? Bagi pelajar-pelajar yang sedang menempuhi alam pendidikan, sebagai kaunselor saya pernah didatangi dengan pelajar yang menyatakan bahawa beliau tersalah memilih jurusan atau bidang pengajian.

Bagi yang bekerja pula, mungkin juga pernah merasa gelisah, apakah ini pekerjaan yang aku inginkan? Adakah aku mampu menggalas tanggungjawab? Pernah hadir di lubuk minda, aku rasanya tidak layak dan tidak patut berada dalam bidang pekerjaan sebegini. Namun tetap perlu diteruskan untuk kelangsungan hidup dan rezeki yang dicari. Menurut Jiro Ono apabila kita memutuskan untuk menceburi sesuatu bidang pekerjaan, maka kita harus membenamkan diri dalam pekerjaan kita. Kita harus jatuh cinta dengan pekerjaan kita. Kita harus mendedikasikan seluruh kehidupan untuk menguasai keterampilan diri kita. Mengikut Jiro Ono, ini merupakan rahsia kejayaan yang merupakan kunci utama untuk kita dihargai dan dihormati.

Sekitar 3 tahun lepas semasa melalui fasa Pandemik Covid-19 saya banyak menghabiskan masa membaca buku berkaitan dengan ikigai. Saya sendiri semakin tertarik mempelajari perlahan-lahan dan menerapkan konsep ikigai dalam kehidupan, walaupun ikigai ini berasal dari Jepun. Apa yang saya rasakan baik, saya manfaatkan dan adaptasi dalam kehidupan, kerjaya dan tanggungjawab saya sebagai pemimpin atau ketua di tempat saya bekerja. Saya jelaskan dahulu apa yang dimaksudkan dengan ikigai. Ikigai bermaksud ‘tujuan hidup’ atau alasan untuk kita bangun pada waktu pagi dan meneruskan kehidupan pada hari tersebut dengan penuh makna.
Saya telah mengamalkan beberapa konsep ikigai yang telah digambarkan oleh Ken Mogi. Apa yang saya dapat kongsikan di sini terdapat empat perkara iaitu Passion atau keseronokan, Mission atau Misi, Profession atau Kepakaran dan Vocation atau Kerjaya. Pada pendapat peribadi saya, keseimbangan dalam keempat-empat perkara tersebut dapat membangunkan potensi diri saya secara keseluruhan dan saya yakin saya dapat mencapai ikigai saya untuk hidup lebih bermakna dan bahagia. Secara tidak langsung saya lebih rasa sayang kepada diri sendiri dan individu lain dalam keluarga dan organisasi saya.

Salah satu perkara yang saya boleh kongsikan di sini adalah berkaitan dengan keseronokan iaitu apa yang kita sukai (Passion, What You Love). Saya fokuskan kepada keseronokan dalam bekerja dan memimpin yang lain. Setiap dari kita mempunyai passion masing-masing. Passion merujuk kepada minat yang dimiliki ataupun sesuatu yang anda suka. Dalam kategori ini merujuk kepada sesuatu yang anda lakukan yang memberikan anda kegembiraan dan membuatkan anda merasa puas. Setiap hari kita mesti perlu ada rasa seronok untuk pergi bekerja, kerana kerja merupakan sumber rezeki kita buat masa ini. Justeru itu, adalah menjadi keutamaan untuk memotivasikan diri sendiri, cipta rasa seronoknya bekerja dan bukan menganggap kerja sebagai satu beban. Dalam kepemimpinan, pemimpin yang bijak akan membentuk pasukan yang memberi kerjasama yang baik. Ini kerana pasukan yang dibentuk dapat menghasilkan produktiviti yang menyumbang kepada kemajuan diri sendiri dan juga organisasi. Maka di sinilah ikigai seorang pemimpin yang hadir dan membenarkan dirinya untuk merasa puas dengan setiap pengorbanan yang telah dilakukan olehnya dan ahli pasukannya.

Yang kedua adalah berkaitan misi : Apa yang diperlukan oleh dunia (Mission: What The World Need). Sebagai pemimpin dalam organisasi, misi yang jelas walaupun tidak sesuai dengan keseronokan kita, namun kita tetap perlu penuhi juga. Hal ini demikian, kerana kita perlu menjalankan amanah. Jadi, bagaimana cara kita untuk bersama mengejar misi ini dan meletakkan diri kita untuk merasa seronok? Pilihan yang ada, adalah bekerja bersama-sama dalam lingkungan kita yang positif. Bekerja seperti satu keluarga di dalam organisasi kita. Apabila kita menjadikan rakan sepasukan sebagai keluarga kedua dan penting bagi kita, kita akan lebih ikhlas mencapai misi yang ditetapkan secara bersama. Ini kerana mencapai misi adalah apa yang diperlukan oleh dunia dalam konteks organisasi kita.

Seterusnya yang ketiga ialah Kepakaran: Apa yang kita mahir atau pakar (Profession: What You Are Good At). Dalam organisasi yang saya ketuai, mereka mempunyai kepakaran luar biasa. Saya sendiri ada kepakaran dalam bidang saya iaitu supervision pembangunan kaunselor. Justeru adalah menjadi mudah untuk saya menilai kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kaunselor di bawah pemantauan saya. Pasukan saya terdiri daripada kaunselor yang hebat dengan pelbagai bidang kepakaran masing-masing. Dari semasa ke semasa, mereka sering menambah ilmu dengan mengikuti latihan-latihan yang dapat memberi nilai tambah kepada kompetensi mereka. Saya juga tidak terkecuali.

Yang keempat ialah kerjaya iaitu apa yang mampu memberi kita sumber pendapatan (Vocation: What You Can be Paid For). Kita semua perlu bekerja untuk mencari sumber pendapatan yang menjadi rezeki halal bagi kita. Jadi mencintai kerja hakiki kita adalah turut menjadi kewajipan bagi kita. Oleh itu, pada pendapat saya, dengan menggunakan kepakaran yang mereka ada dalam usaha memberi bantuan kaunseling atau bimbingan kepada pelajar, staf dan komuniti inilah bayaran yang dapat diperolehi oleh mereka berdasarkan usaha dan kerja ikhlas yang mereka laksanakan dengan penuh bertanggungjawab. Jika ditanya pada saya, adakah saya mencapai ikigai saya dengan pekerjaan saya sekarang, jawapan saya ‘Ya’. Kerana saya terlalu cintakan pekerjaan saya.

Sebagai penutup, hiduplah dengan penuh bermakna dengan mencintai setiap perkara yang kita buat dan lalui dalam kehidupan kita. Ikigai kita akan tercapai dengan kita mensyukuri setiap perkara baik mahupun buruk yang kita lalui dalam mengharungi kehidupan untuk mencapai kebahagian dan ketenangan.

Tarikh Input: 31/01/2024 | Kemaskini: 31/01/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcNAc~