KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! APA BEZA KAUNSELOR, AHLI PSIKOLOGI DAN PSIKIATRIS? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! APA BEZA KAUNSELOR, AHLI PSIKOLOGI DAN PSIKIATRIS?

KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! APA BEZA KAUNSELOR, AHLI PSIKOLOGI DAN PSIKIATRIS?

OLEH : MOHAMAD ASHAARI BIN AWAB K.B,P.A

Pegawai Psikologi, Kaunselor, Pegawai psikologi klinikal dan Psikiatris semua bertujuan membantu individu dalam mengatasi masalah psikologikal. Tidak dinafikan bahawa semua kerjaya ini terlibat dalam merawat isu kesihatan mental serta memerlukan pemahaman yang mendalam terhadap emosi, pemikiran serta tingkah laku tetapi sebenarnya ketiga-tiga jawatan ini mempunyai peranan yang berbeza.

 

Di Universiti Putra Malaysia, perjawatan pegawai psikologi terbahagi kepada dua kategori iaitu Pegawai Psikologi Kaunseling (Kaunselor) dan Pegawai Psikologi Klinikal, Setiap satunya mempunyai latar belakang pendidikan serta latihan yang berbeza.

 

Pegawai Psikologi Kaunseling (Kaunselor) bertanggungjawab memberi sokongan emosi, mengembangkan kemahiran interpersonal dan membantu individu mencapai objektif peribadi. Kaunselor juga terlibat dalam menjalankan intervensi kaunseling kepada populasi yang sihat di mana ia bertujuan untuk mencegah penyakit mental, menguruskan cabaran dalam hidup serta mengekalkan kesejahteraan diri melalui sesi kaunseling individu atau kelompok. Ini bermaksud kaunseling memberi fokus kepada mereka yang sihat serta tidak mempunyai penyakit mental. Mereka ditempatkan di Bahagian Kaunseling UPM, Unit Kaunseling & Kerja Sosial Perubatan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar UPM dan juga di Kampus Bintulu.

 

Pegawai psikologi klinikal merupakan pegawai yang terlibat secara langsung dalam perawatan pesakit mental dan sering bekerjasama dengan pakar psikiatri dalam merawat pesakit secara holistik. Pegawai psikologi klinikal juga memberi fokus kepada rawatan psikoterapi. Dalam aspek terapi, pegawai psikologi klinikal mensasarkan tiga matlamat utama iaitu membantu pesakit sedar dan memahami punca terjadinya masalah, membantu pesakit belajar teknik dan strategi untuk menghadapi masalah tersebut serta meningkatkan kekuatan dalaman dan membantu memperkasakan diri untuk mengelakkan dari berlakunya relaps. Mereka ditempatkan di bawah Jabatan Psikiatri HSAAS UPM.  

 

Psikiatris pula merupakan Pegawai Perubatan dengan ijazah doktor perubatan (MD) dan Ijazah Sarjana khusus dalam bidang psikiatri. Pakar psikiatri merawat penyakit mental yang lebih teruk tahapnya (Severe mental illness) berbanding pegawai psikologi klinikal. Antara jenis penyakit mental tersebut adalah Schizophrenia, Bipolar Disorder serta kemurungan yang teruk. Pakar psikiatri membuat diagnosa penyakit serta merancang pelbagai pelan perawatan komprehensif untuk penyakit mental yang serius termasuk ubatan, psikoterapi serta rawatan elektrokonvulsif. Mereka ditempatkan di bawah Jabatan Psikiatri HSAAS UPM.  


Dengan kata lain, kaunselor fokus pada aspek emosi dan interpersonal, Pegawai Psikologi Klinikal memberi tumpuan kepada penyelidikan dan rawatan bahagian mental, manakala psikiatri lebih menumpukan kepada merawat masalah mental yang berat melalui ubat-ubatan.

Tarikh Input: 30/08/2023 | Kemaskini: 30/08/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcFAA~