KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! BIMBINGAN DAN SESI KAUNSELING INI, APA BEZANYA? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! BIMBINGAN DAN SESI KAUNSELING INI, APA BEZANYA?

KAUNSELOR, SAYA NAK TAHU! BIMBINGAN DAN SESI KAUNSELING INI, APA BEZANYA?

OLEH : WAN AZURANI BINTI WAN AHMAD K.B,P.A

Begini jawapannya..
Sudah pasti bimbingan dan sesi kaunseling ini berbeza. Ianya berbeza dari sudut istilah, pendekatan dan juga secara etika. Definisi bimbingan adalah perbuatan membimbing yang merujuk kepada tindakan memberi petunjuk dan nasihat kepada individu (Dewan Bahasa & Pustaka, Edisi Keempat). Ianya melibatkan proses membimbing, memberi maklumat, mengawasi atau mengarahkan individu untuk melakukan tindakan tertentu. Ianya boleh dijalankan oleh seseorang individu tertentu yang mempunyai kepakaran dalam bidang mereka kepada individu lain.

Berbeza dengan kaunseling, ia adalah proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Sesi Kaunseling hanya boleh dijalankan oleh kaunselor profesional yang bertauliah, bagi membantu klien ke arah perkembangan dan penyesuaian peribadi yang baik dan menyeluruh. Sesi kaunseling bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan peribadi atau sosio-psikologi yang melibatkan kecelaruan emosi atau ketidakstabilan mental. Kaunselor mendengar masalah klien dengan empati, menggunakan kemahiran-kemahiran kaunseling khusus yang dipelajari serta terikat dengan etika kerahsiaan. Kaunseling juga membantu klien mengenalpasti akar umbi masalah yang dihadapi dan membantu klien mendapat celik akal agar klien dapat menghadapi isu yang sama kemudian hari sekiranya berlaku lagi.

Secara kesimpulannya, jelas kedua-dua istilah ini adalah berbeza. Walau bagaimanapun, sama ada bimbingan atau kaunseling ianya adalah bertujuan untuk menolong. Yang berbeza adalah proses yang mana sesi kaunseling merupakan proses yang memerlukan kepakaran khusus dalam memberikan celik akal kepada klien.

Tarikh Input: 31/05/2023 | Kemaskini: 31/05/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcLAX~